‘LANGKAH BIJAK’ JIKA SELANGOR BUBAR DUN SEKARANG, BATAL PERSEMPADANAN

IA akan menjadi “langkah bijak” oleh kerajaan negeri Selangor untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menangkis kesan daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya yang memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.

Mengulas mengenai perbalahan pelaksanaan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penganalisis berkata mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum PRU yang perlu diadakan sebelum Ogos, boleh juga memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

Kerajaan negeri PH pada masa ini dalam pertarungan undang-undang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula di kawasan pilihan rayanya.

Ketua pengajian politik Penang Institute, Wong Chin Huat berkata pelaksanaan persempadanan semula itu dijangka akan berpihak kepada BN tetapi PH dapat menangkisnya jika DUN dibubarkan sebelum PRU diadakan.

“Jika DUN Selangor dibubarkan esok, PRN perlu diadakan dalam tempoh dua bulan, dan daftar pengundi sedia ada yang akan digunakan. Persempadanan semula akan ditewaskan dengan bijak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Jika Azmin (Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali) membubarkan DUN Selangor untuk mempercepatkan pertarungan, bukan saja beliau mempunyai peluang lebih besar untuk kemenangan penuh, tetapi akan dilihat sebagai pemimpin berani dan berstrategi.

“Menteri besar dan ketua menteri pembangkang selama ini menurut arahan BN dalam mengadakan PRU. Azmin boleh tunjukkan bahawa beliau bukan sekadar MB pembangkang seperti yang lain.”

Terdapat 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di Selangor. Wakil rakyat PH mencabar pelaksanaan persempadanan semula kerana mereka berpendapat mereka mungkin kalah pada PRU14, jika ia dilaksanakan.

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata Selangor mengambil “langkah bijak” untuk membubarkan sidang DUN menjelang PRU14 bagi menghalang kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2018.
Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata Selangor mengambil “langkah bijak” untuk membubarkan sidang DUN menjelang PRU14 bagi menghalang kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2018.

The Malaysian Insight baru-baru ini menemu bual Adun Hulu Kelang Saari Sungib yang tahu beliau berdepan kekalahan pada PRU14 jika cadangan perubahan sempadan di kawasannya berjaya dilaksanakan.

Ia berikutan sejumlah besar pangkalan data penyokongnya yang memberi sumbangan besar terhadap kemenangan majoritinya bagi dua PRU sebelum ini, akan dipindahkan keluar ke kawasan Parlimen bersebelahan.

Parlimen akan terbubar secara automatik pada 24 Jun dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran itu. SPR akan memutuskan bila PRU akan diadakan.

Di Selangor, menteri besar yang akan memutuskan bila hendak membubarkan DUN, dengan hanya memerlukan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Tidak ada persoalan tidak sah,” kata Wong, menambah bahawa di bawah Akta Pilihan Raya 1958, daftar pengundi negeri yang sedang diguna pakai, perlu digunakan apabila DUN dibubarkan.

“SPR tidak boleh guna sempadan baharu,” katanya.

Wong berkata PRU awal akan membolehkan PH menggunakan kekuatannya pada PRU14, sekurang-kurangnya untuk kawasan Parlimen di Selangor.

“Jika pertandingan banyak penjuru tidak dapat dielakkan, maka PH boleh akses kepada kemampuannya untuk menang. Ia tidak boleh jadi lebih teruk daripada pertandingan banyak penjuru selepas persempadanan semula,” katanya.

“Namun, pertandingan banyak penjuru boleh diminimumkan jika Selangor bubar awal kerana rundingan kerusi dengan PAS boleh selesai dengan sendirinya.

“PAS Selangor tahu mereka akan jadi mangsa pertama jika pertandingan banyak penjuru berlaku.”

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kerajaan negeri Selangor untuk menangguhkan kehadirannya di inkuiri awam mengenai pelaksanaan persempadanan semula oleh SPR.

Inkuiri awam SPR akan diteruskan seperti biasa tanpa kehadiran wakil kerajaan negeri Selangor.

Kerajaan negeri sebelum ini memohon untuk membatalkan cadangan pelaksanaan persempadanan semula SPR yang akan merangka semula sempadan kawasan Parlimen, di mana pembangkang mendakwa tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selangor juga memohon pengisytiharan bahawa SPR melanggar peruntukan perlembagaan berkenaan persempadanan kawasan pilihan raya, yang akan membawa kepada jumlah pengundi tidak seimbang di kawasan terbabit.

Kerajaan negeri juga memetik kegagalan SPR untuk menggunakan daftar pengundi terbaru dalam pelaksanaan persempadanan semula itu, malah daftar yang digunakan tidak lengkap dan tidak tepat, menjejaskan 136,272 pengundi di Selangor. – 11 Januari, 2018.

Baca berita penuh di sini.

– https://www.themalaysianinsight.com

.