LANGKAH AZMIN DENGAN PAS RESAHKAN SEKUTU

Perbincangan tidak rasmi Pakatan Harapan dan PAS, seperti didedahkan pengarah pilihan raya gabungan itu Datuk Seri Azmin Ali, menimbulkan rasa tidak senang sekutunya.

Parti Amanah Negara (AMANAH) menuntut perkara itu dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi HARAPAN terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.

“Ya, kalau melibatkan kepentingan HARAPAN kena maklumkan pada HARAPAN, itu pun kalau melibatkan kepentingan HARAPAN.

“Kalau isu peribadi mereka kita tak campurlah,” kata pengarah pilihan raya AMANAH Dr Hatta Ramli.

Anggota parlimen Kuala Krai itu juga berkata partinya tidak dimaklumkan berkaitan pertemuan itu dan menolak Azmin mewakili HARAPAN.

“Itu pertemuan PKR, bukan wakili HARAPAN, dia boleh bertemu siapa sahaja dia nak, (pertemuan) itu macam ziarah orang sakit, presiden PAS pun tak sihat,” katanya kepada Malaysiakini.

Hatta ditanya mengenai kunjungan kunjungan Azmin dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sabtu lalu.

Sehari selepas itu, Azmin mengakui terdapat perbincangan “sangat tidak rasmi” antara HARAPAN dengan PAS sejak beberapa bulan terakhir ini menjelang pilihan raya umum akan datang.

‘Tutup pintu tapi tak selak’

Sementara itu, Hatta ketika diminta mengulas mengenai pemutusan kerjasama politik antara kedua-dua parti itu sebelum ini menjawab dengan sinis.

“Itu yang kena tanya mereka, dah putus pun masih berhubung. Saya ada terbaca berita presiden PAS kata walaupun dah putus, tapi belum selak (kunci) lagi.

“Itu kena tanya PAS apa maksudnya. Yang dia tutup-tutup dulu tu dia bergurau saja,” sindirnya.

Mei lalu, Majlis Syura Ulama PAS menerima usul muktamar parti itu untuk memutuskan kerjasama dengan PKR selepas mendakwa sekutunya banyak melanggar syarat kerjasama, seperti dalam isu melipatgandakan hukuman untuk pesalah syariah.

Perkara serius, kata wakil DAP

Sementara itu ADUN Pasir Pinji (DAP) Howard Lee pula berpendapat lawatan sosial PKR dan PAS dialu-alukan, namun sekiranya terdapat rundingan antara kedua-dua parti, ia adalah perkara serius.

“Adakah hubungan dua hala ini tidak menyentuh mengenai HARAPAN.

“Bagaimana kita boleh mengalu-alukan rundingan dengan parti yang mesra Umno kerana mereka tidak berpuas hati dengan HARAPAN,” soalnya.

Katanya lagi, walaupun HARAPAN mempunyai strategi dan agenda untuk memenangi undi, namun kedudukannya mesti dipertahankan.

“Membuka pintu untuk PAS adalah tidak produktif, terutamanya apabila PAS secara langsung menjadi pihak yang bermusuh dengan HARAPAN,” katanya.

Katanya lagi, HARAPAN perlu mendekati penyokong PAS dan bukannya pemimpin parti Islam itu memandangkan mereka kini rapat dengan Umno.

“Saya dengan jujur mendesak agar HARAPAN tidak membuang masa dengan mendekati kepimpinan PAS sedia ada.

“Saya boleh setuju pintu harus sentiasa terbuka, tetapi kita – HARAPAN – tidak harus dan tidak patut mencari pihak yang mendekati PAS.

“Angin perubahan sedang bertiup di layar kapal HARAPAN, jadi kita harus mengetatkan tali dan berlayar.

“Jika dan apabila ada perubahan kepimpinan atau arah yang jelas dalam PAS dan mereka ingin masuk (HARAPAN), mereka mesti bersetuju dengan agenda kita dan agenda rakyat Malaysia terlebih dahulu.

“Mereka yang mesti datang kepada HARAPAN dan berunding dengan syarat-syarat HARAPAN,” katanya.

MKINI

.