LAM THYE: ‘SAYA TIDAK AKAN KEMBALI SEMULA DALAM POLITIK’

SHAH ALAM – “Budaya politik keterlaluan dilihat menjadi punca rakyat negara ini tidak dapat bersatu,” kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau yang juga bekas pemimpin DAP menjelaskan, keadaan tersebut menjadi lebih rumit apabila elemen agama dicampur-adukkan sekali gus menyebabkan rakyat berpecah-belah dan menjadikan isu tersebut semakin serius.
“Isu besar yang negara hadapi pada hari ini adalah budaya over politiking yang semakin berleluasa di negara kita.
“Bagi saya, apa yang amat penting adalah kita harus memberikan perhatian penuh kepada pembangunan minda, sahsiah, moral dan insan,” katanya.

Dengan keadaan pergeseran politik yang semakin meruncing di negara ini, Lam Thye yang juga merupakan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memaklumkan tidak berhasrat untuk menyertai semula politik.

Katanya, beliau merasakan bahawa dirinya tidak sesuai untuk kembali semula ke arena politik memandangkan telah meninggalkan bidang tersebut setelah hampir 30 tahun.

“Saya rasa keadaan politik negara hari ini begitu kucar-kacir.

“Malah saya juga boleh memainkan peranan yang lebih efektif dan berkesan di luar bidang politik bagi membantu kebajikan rakyat,” katanya.

Selain itu, Lam Thye turut memaklumkan bahawa pihaknya juga tidak menerima sebarang pelawaan daripada mana-mana pihak untuk menyertai semula bidang politik di negara ini.

“Orang pun tak nak ajak saya masuk politik sebab mereka tahu saya akan tolak sekiranya ada tawaran diberikan,” katanya.

– SH

.