LAJIM RISAU JIKA PEMBANGKANG SABAH TIDAK BERSATU

KUDAT – Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) melahirkan kerisauan sekiranya pembangkang di negeri berkenaan gagal bersatu dalam usaha menawan negeri berkenaan pada PRU14 ini.

Presidennya, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, pembangkang perlu bersatu bagi menunjukkan kesungguhan merampas Sabah dari pemerintahan BN, terutamanya Umno.

“Jika kita sendiri tidak bersatu, bagaimana rakyat hendak memilih ketika buang undi nanti. Ini yang kita khuatir akan berlaku.

“Bagaimanapun, setakat ini kekuatan yang ada pada pembangkang terutamanya membawa agenda Sabah memberikan keyakinan kepada rakyat untuk memilih dan membuat keputusan tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sabah mempunyai 73 kerusi Dun dan 25 Parlimen yang dipertandingkan dalam PRU14.

Lajim yang juga Adun Klias berkata, pembangkang memberikan fokus kepada isu setempat yang banyak dipinggirkan Kuala Lumpur sebagaimana dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Rakyat di Sabah mahukan perubahan, mereka inginkan senario politik di negeri ini diubah kepada sebuah kerajaan baru yang lebih adil kepada rakyat.

“Kita juga sedia maklum, kerajaan kini gagal untuk memperjuangkan hak rakyat dan turut melupakan perkara yang terkandung dalam MA63,” katanya.

Dalam masa sama, Lajim menegaskan partinya bukanlah bukanlah agen kepada BN seperti yang disuarakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Pelbagai tohmahan yang negatif sering diterima pihaknya bagi tujuan melemahkan perjuangan ahli parti.

“Harapan Rakyat bukanlah parti agen atau rakan kepada BN, kami tidak pernah menjalin kerjasama dengan parti kerajaan ini.

“Kami hanya berjuang untuk rakyat Sabah bersama rakan komponen dalam Gabungan Sabah (GS) selain mempertahankan hak-hak negeri seperti yang ada dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Selain Harapan Sabah, GS terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

– M’kini

.