LAGI SENANG BN NAK KALAHKAN PAKATAN, KATA RAHMAN DAHLAN

LEBIH senang Barisan Nasional (BN) hendak menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) selepas Pakatan Harapan (PH) menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menterinya, kata seorang menteri kabinet persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan berkata pengumuman Dr Mahathir calon perdana menteri PH itu “berita baik” buat BN dan strategi yang salah buat gabungan pembangkang itu.

“Saya terima kasih kepada PH kerana menjadikan lebih senang lagi untuk BN menang pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu siri komentar di Twitter tidak lama selepas selesai Konvensyen Pakatan Harapan petang tadi.

PH pada konvensyennya hari ini secara sah menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sementara sebelum mengangkat Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara, sebagai penggantinya selepas ketua umum PKR itu mendapat pengampunan diraja.

Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri apabila gabungan pembangkang itu menerima mandat rakyat pada PRU14 nanti.

Jelas Rahman, PH selama ini sebenarnya hanya beretorik apabila bercakap tentang reformasi dan peluang untuk anak muda.

“Hakikatnya, Mahathir tidak sinonim dengan inisiatif pembaharuan yang diumumkan oleh PH hari ini. Langkah strategi yang salah,” katanya.

PH hari ini turut mengumumkan 13 janji perubahan untuk Malaysia yang lebih sejahtera dan adil, yang akan terkandung dalam manifestonya untuk PRU14.

Antaranya janji perubahan itu termasuk membentuk sebuah kabinet berwibawa dan menjadikan Parlimen serta pelbagai institusi negara – polis, mahkamah, tentera, badan anti rasuah dan suruhanjaya pilihan raya – bebas daripada pengaruh politik, dan menghormati prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Lucunya apabila PH melantik Mahathir sebagai bakal PM dan mengharapkan beliau melaksanakan reformasi ini,” kata Rahman, dan bertanya apakah PH sudah kemaruk kuasa sehingga mengorbankan idealisme.

Rahman berpendapat Dr Mahathir tidak akan melaksanakan janji reformasi itu kerana “beliau terbukti pakar muslihat dan pembaharu yang tidak boleh dipakai”.

“Pengumuman Mahathir jadi PM ini satu pembelotan kepada agenda reformasi PH sendiri. Ini satu tragedi kepada perjuangan mereka,” katanya, sambil menyifatkan bekas perdana menteri itu “orang paling korup” di Malaysia.

– https://www.themalaysianinsight.com

.