LAGI SAUDARA AZMIN DIPERHATI SPRM

Seorang lagi “saudara” Datuk Seri Azmin Ali didakwa bakal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lama lagi.

Memetik sumber portal Utusan Malaysia mendakwa suspek terbabit menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan namun didapati hidup mewah.

Laporan itu mendakwa individu terbabit disyaki menjadi orang tengah dalam urusan membabitkan Azmin dan kontraktor yang mendapat projek daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun laporan itu mendakwa dakwaan berkenaan masih diteliti untuk memastikan sejauh mana pembabitan individu itu sahih.

Kata sumber yang tidak didedahkan itu individu berkenaan disyaki terbabit sebagai orang tengah sejak 2014.

Pada 29 Nov lalu salah seorang anak saudara Azmin direman tujuh hari kerana disyaki terbabit melindungi aktiviti pelombongan pasir dan batu tanpa lesen di Selangor.

Turut direman, tiga yang lain.

Anak saudara Azmin itu didakwa menjadi orang tengah untuk mengelakkan aktiviti haram membabitkan pelombongan pasir tidak diganggu agensi penguat kuasa dan kerajaan negeri.

Ada integriti tinggi

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad menegaskan tangkapan itu dibuat secara profesional dan tidak melibatkan pertimbangan politik.

“Apa-apa tindakan yang SPRM ambil berdasarkan maklumat yang kita terima, dan apabila mempunyai asas pada maklumat, maka kita menjalankan siasatan, jadi bebas dari pengaruh politik, atau sabotaj,” katanya.

Mengulas perkembangan itu Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan beliau menganugerahkan tender kepada anak saudaranya.

Kata Azmin semua tender untuk pelombongan pasir di Selangor dikendalikan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI Inc).

“Pertama dakwaan itu tidak betul. Dasar kerajaan negeri tanah-tanah dimiliki oleh kerajaan negeri, sekiranya ada permohonan untuk aktiviti perlombongan pasir ia akan diuruskan oleh Kumpulan Semesta.

“Semua proses tender dijalankan Kumpulan Semester, saya bukan board member (ahli lembaga pengarah) Semesta.

“Saya tidak terlibat dalam sebarang keputusan dan saya yakin pegawai Semesta mempunyai integriti tinggi dalam memastikan proses itu berjalan dengan telus dan terbuka,”katanya.

– M’kini

.