LAGI PENDEDAHAN TENTANG WANG 1MDB JAM 1.30 PETANG INI – NAJIB DIPERSILAKAN TERUS MEMBISU

Saya memerhatikan bagaimana Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak memberi sebarang maklum balas apabila laman Sarawak Report menyiarkan laporan bagaimana sejumlah wang RM9.5 juta telah dibayar kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah dari akaun peribadi beliau (Najib), yang disyaki menerima dana 1MDB dan syarikat-syarikat berkait dengannya.

Sementara pendedahan itu akan terus mendapat liputan meluas, saya merasakan Dato’ Seri Najib akan berdiam diri dengan harapan berita-berita itu akan mati begitu sahaja.

Beliau mungkin lupa bahawa sebelum pembayaran sebanyak RM9.5 juta itu dibuat dalam bulan September 2013 dan Februari 2014, Dato’ Seri Najib pernah membayar peguam-peguam beliau dari akaun peribadi (yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM kerana dituduh menerima dana dari 1MDB) dalam tahun 2011 lagi.

Oleh itu, bukanlah satu perkara yang baru atau mengejutkan bagaimana Dato’ Seri Najib boleh menggunakan dana 1MDB yang masuk ke akaun peribadi beliau untuk digunakan membayar peguam-peguam yang menguruskan kes-kes Dato’ Seri Najib yang melibatkan musuh-musuh politik beliau.

Dengan kata lain, bukan sahaja dana rakyat masuk ke akaun peribadi beliau, dana itu digunakan pula untuk berhadapan dengan pemimpin pembangkang di mahkamah.

Saya akan mendedahkan esok bagaimana sejumlah wang yang masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib (yang disiasat oleh SPRM kerana dipercayai wang 1MDB) telah dibayar kepada peguam dalam kes yang bersabit dengan pemimpin pembangkang dalam tahun 2011.

Sementara itu, saya menyeru Dato’ Seri Najib supaya berterus terang sahaja dengan menyatakan peguam-peguam yang telah dibayar menggunakan wang yang masuk ke dalam akaun-akaun yang disiasat SPRM; kerana punca dana itu dipercayai dari 1MDB.

Jika beliau terus berdiam diri sedangkan bukti ditunjukkan satu persatu, itu hanya akan terus mengukuhkan keyakinan rakyat bahawa beliau mengamalkan politik “cash is king” sehinggakan peguam-peguam pun dibayar menggunakan wang dari akaun-akaun yang disiasat berhubung skandal 1MDB.

Sidang media saya akan diadakan pada jam 130 petang esok (hari ini) dan disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook Page saya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
Ulasan Blog – Maka, jangan ke mana-mana dan luangkanlah masa jam 1.30 petang ini untuk kita sama-sama mengetahui ke mana lagi wang yang dipercayai berasal daripada 1MDB disalurkan.

Seperti dalam banyak pendedahan sebelum ini, Najib Razak tidak perlu memberikan reaksi apa-apa dengan apa yang didedahkan nanti. Beliau dipersilakan untuk terus diam dan membisu seperti selalu.

Malah kucingnya, Kiky pun tidak perlu mengiau kepadanya. Cukup sekadar menjeling seribu makna saja.

Sekali lagi, kepada yang sayangkan negara dan ingin kleptokrasi tidak wujud lagi selepas PRU 14, jangan ke mana-mana jam 1.30 petang ini serta kemudian pakat-pakat menyebar, menyedar dan memahamkan kepada orang-orang yang dekat mengenai apa yang bakal didedahkan nanti.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.