LAGI INSIDEN SALAH BENDERA DI SUKAN SEA

Selepas isu bendera terbalik, peminat Sukan SEA ke-29 sekali lagi dikejutkan dengan insiden tidak sepatutnya berlaku pada temasya sukan dwitahunan itu.

Kali ini, membabitkan perenang Malaysia, Keith Lim Kit Sern apabila paparan di televisyen menandakan atlet itu dengan bendera Singapura.

Paparan itu turut menandakan Kit Sern dengan singkatan ‘KUL’ dan bukan ‘MAS’ bagi merujuk atlet yang berasal dari Malaysia.

Rakaman pada acara renang gaya bebas 50m lelaki akhir itu kemudian dimuatnaik menerusi Youtube dan turut dilaporkan oleh sebuah blog Singapura, mothership.sg.

Semalam, tular di media sosial mengenai bendera beberapa negara yang menyertai KL2017 bertukar antara satu sama lain yang disikan di salurab TV2 RTM ketika pungutan pingat yang dimenangi atlet.

Lapan bendera daripada 11 negara yang bertukar itu membabitkan Vietnam, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abu Bakar Ab Rahim ketika dihubungi mStar Online mengakui kesilapan yang dilakukan semasa siaran langsung berita Tamil di saluran TV2 pada pukul 7.30 malam Khamis.

Bagaimanapun katanya, permohonan maaf berhubung kesilapan itu telah dibuat pada segmen berita di saluran TV yang sama semalam.

Sabtu lalu majlis perasmian KL2017 tercemar apabila bendera Indonesia dipaparkan secara terbalik dalam buku panduan.

Insiden itu mencetuskan rasa tidak puas hati Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi yang dinyatakan secara terbuka melalui Twitter.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin Abu Bakar segera meminta maaf dan bertemu Imam.

Insiden itu bagaimanapun tidak berakhir begitu sahaja apabila NGO yang dikenali sebagai Laskar Merah Putih mengadakan demonstrasi di kedutaan besar Malaysia di Jakarta.

– M’kini

.