KWSP JELASKAN MENGAPA DIVIDEN SYARIAH LEBIH RENDAH?

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memberitahu, perbezaan kadar dividen simpanan konvesional dan syariah adalah disebabkan akses terhadap perbankan dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berbanding simpanan konvensional, simpanan syariah mempunyai akses yang terhad terhadap bank-bank yang disenaraikan di Bursa Saham.

“Simpanan konvensional mempunyai akses kepada stok perbankan dunia terutamanya terhadap ruang konvensional manakala syariah pula tiada.

“Dan ini merupakan salah satu faktor terhadap keseluruhan pasaran yang menyediakan ruang hanya untuk perbankan konvensional berbanding perbankan syariah.

“Kita ambil contoh di negara ini, kita mempunyai banyak bank yang disenarailan di Bursa Saham seperti CIMB, RHB dan kita cuma ada satu bank yang disenaraikan iaitu Bank Islam dan pada masa akan datang bank yang berpotensi MBSB yang akan ditukar menjadi bank Islam.

“Skop bagi simpanan syariah terhadap industri adalah terhad,” katanya pada sesi penerangan di ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung perbezaan kadar dividen KWSP antara simpanan konvensional dan syariah.

Pada Sabtu lalu, KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus bagi simpanan konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.40 peratus bagi simpanan syariah, dengan agihan dividen RM3.98 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan dividen bagi 2017 adalah sebanyak RM48.13 bilion, peningkatan 29.8 peratus dari 2016.

– M’kini

.