KUNING ‘BERPESTA’ TANPA MERAH

TINDAKAN polis menahan ketua gerakan baju merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos beberapa jam sebelum penunjuk perasaan Bersih 5 turun ke jalanan pada Sabtu dilihat sebagai satu keputusan efisyen yang “kena pada masa”.

Jelas sekali tanpa Jamal, pengikut kumpulan baju merah bagaikan hilang arah khususnya bagi menentukan pergerakan mereka dalam usaha menyaingi kumpulan baju kuning.

Jamal direman selama empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan terhadap tiga kes rusuhan dan menghalang tugas seorang anggota polis serta menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.

Pujian sekali lagi harus diberikan kepada pihak polis apabila berjaya menyekat sebarang cubaan anak buah Jamal untuk menghampiri kumpulan Bersih 5 yang mula berhimpun di Jalan Bangsar (Dataran Maybank) dan Stesen LRT Masjid Jamek.

Polis berjaya melemahkan kekuatan fizikal dan memberi tekanan mental kepada penyokong baju merah apabila ‘memaksa’ mereka berjalan dalam jarak yang jauh.

Pertamanya, kumpulan baju merah yang berhimpun dalam jumlah yang agak besar di Jalan Melaka berhampiran Bank Muamalat dan Stesen Masjid Jamek dilencongkan pergerakan bagi mengelak berlakunya pertembungan.

Kumpulan itu akhirnya terpaksa berjalan melalui Jakel Mall dan membuat pusingan besar tanpa melalui jalan-jalan berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kompleks beli-belah Sogo.

Lokasi kedua ialah di Padang Merbok, di sana juga kawalan ketat pihak polis berjaya melemahkan penyokong baju merah.

Sekitar pukul 9.30 pagi, kumpulan baju merah yang dilihat berarak dari Bulatan Dato’ Onn berhampiran Dataran Merdeka dilencongkan ke Jalan Raja Laut melalui bangunan DBKL dan berhenti di hadapan Hotel Quality.

Jelas sekali beberapa percubaan baju merah untuk bersemuka dengan kumpulan Bersih 5 berjaya dipatahkan pihak berkuasa.

Ubah Strategi

Sesuatu yang tidak dijangka apabila perhimpunan Bersih 5 melencongkan ‘sasaran’ mereka daripada Dataran Merdeka ke Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Sekitar pukul 2.30 petang, penganjur mengeluarkan arahan supaya penunjuk perasaan baju kuning bergerak ke KLCC bagi acara finale.

Menunggu di tengah-tengah persimpangan Jalan Ampang, Jalan Yap Kwan Seng dan Jalan P Ramlee ialah ialah tiga bekas pemimpin Umno iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tanpa kelibat pemimpin pembangkang lain, ketiga-tiga mereka menyampaikan ucapan untuk menggulingkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi Dr Mahathir, berucap di tengah-tengah lautan kuning di ‘pentas’ terbuka menghadap bangunan KLCC yang dibina ketika era pemerintahan beliau pastinya menaikkan semangat negarawan berusia 91 tahun itu.

“Minta maaf suara saya tak kuat, tapi semangat saya kuat,” kata Dr Mahathir yang kini bertindak sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pun begitu, setiap kata-kata yang disampaikan secara bersahaja berjaya menaikkan semangat penyokong baju kuning walaupun tidak menyentuh mengenai lima tuntutan Bersih 5 melainkan hanya berkisar mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kepimpinan Najib.

Antara pimpinan pembangkang yang turut menyertai demonstrasi Bersih 5 ialah Presiden PKR, Datuk Seri Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; timbalannya, Datuk Seri Moha­med Azmin Ali; Setiausaha Agung, Rafizi Ramli; Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar; Presiden Parti Amanah Negara, Moha­mad Sabu; timbalannya, Salahuddin Ayub dan bekas Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga.

MSTAR

.