KUMPULAN PENEROKA MAHU JUMPA SHAHRIR, SELESAIKAN ISU FELDA

KUMPULAN peneroka Felda sedia untuk bertemu pimpinan Felda untuk menyelesaikan isu hutang antara agensi itu dengan lebih 100,000 peneroka di seluruh negara.  

Tawaran damai itu dibuat oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), yang bersama aktivis bercadang membawa agensi perladangan gergasi itu ke mahkamah berhubung pertikaian perjanjian penanaman semula.

Generasi kedua peneroka mendakwa kontrak yang ditandatangani oleh 95% daripada ibu bapa mereka pada 2000-an menyebabkan ramai terperangkap dalam hutang.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata beliau sedia untuk bertemu Pengerusi Felda Shahrir Samad bagi membincangkan perkara ini.

“Sebenarnya kita sudah lama mahu jumpa Shahrir iaitu sebaik saja beliau dilantik sebagai pengerusi Felda.

“Sekarang, kita bersedia juga untuk bertemu Shahril ketika masalah Felda dengan peneroka memuncak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mazlan berkata demikian ketika mengulas beberapa penjelasan Shahril melalui The Malaysian Insight termasuk berkenaan hutang Felda dengan peneroka susulan Perjanjian Tanam Semula.

“Daripada kita bergaduh dalam media, baik kita berjumpa secara berdepan dan berbincang hati ke hati,” kata Mazlan.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman berkata mereka sedia bertemu pengerusi Felda untuk menyelesaikan isu hutang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2017.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman berkata mereka sedia bertemu pengerusi Felda untuk menyelesaikan isu hutang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2017.

Katanya, selain mahu mendengar visi dan misi Shahrir selepas dilantik sebagai pengerusi, ada tiga lagi tujuan beliau mahu berjumpa dengan Shahrir berhubung program Felda untuk 112,000 penerokanya.

Tiga perkara itu ialah:

* Hutang peneroka pada Felda daripada skim penanaman semula. Dalam laporan baru-baru ini, Shahrir berkata majoriti peneroka berhutang kurang RM60,000 iaitu ia sebenarnya pinjaman daripada agensi itu untuk menanam semula pokok sedia ada dengan pokok lebih muda.

* Pengurusan penanaman semula peneroka yang diswastakan kepada, Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP), sebuah anak syarikat Felda. Peneroka mendakwa penyelenggaraan kebun peneroka tidak sempurna, yang mengakibatkan pendapatan peneroka rendah dan tidak berbaloi dengan harga yang agak stabil.

* Kebajikan anak peneroka yang sudah dewasa, di mana ramai antaranya masih tinggal bersama ibu bapa mereka dan mendakwa hutang ibu bapa daripada pinjaman penanaman semula diwariskan kepada mereka.

“Kami sangat memerlukan penjelasan Sharir dan sedia memberikan pandangan,” kata Mazlan.

Mazlan berkata Felda sepatutnya menyusun semula FTP kerana ia bertanggungjawab menguruskan penanaman semula ladang seluas 239,909.49 hektar milik 59,569 peneroka Felda seluruh negara.

Katanya, Felda dengan FTP mestilah sekata dan sepakat dalam isu hutang peneroka.

“Kegagalan kedua-dua pihak menyelesaikan isu ini menimbulkan kemarahan peneroka,” katanya.

Mazlan berkata beliau tidak menafikan hak Felda untuk mendapatkan semula kos tanam semula dan pinjaman sara hidup, tetapi ia mestilah disusuli dengan tindakan profesional dan adil bagi kepentingan bersama.

“Pendekatan dua hala dan situasi menang-menang dimanfaatkan tanpa emosi dan ego.

“Ugutan untuk mengambil tindakan undang-undang dan arahan bayar dalam tempoh 14 hari hutang peneroka ke Felda, akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya merujuk kepada surat Felda kepada peneroka yang meminta untuk mengambil alih ladangnya daripada FTP.

– https://www.themalaysianinsight.com

.