Kumpulan pelajar tempelak ‘cuci otak’ 1MDB di UM

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mengkritik ceramah ‘1MDB dan hal ehwal semasa’ di Universiti Malaya malam tadi yang disifatkan sebagai sesi ‘cuci otak’.

“Program ini adalah sesi cuci otak bertujuan memutar belitkan fakta mengenai 1MDB dan cubaan mengelirukan pelajar,” kata Presiden Umany, Ho Chi Yang dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata risalah bertajuk: “Saman DOJ Meragukan” juga telah diagihkan kepada pelajar.

Ia merujuk kepada saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat bagi mendapatkan semula aset bernilai AS$1 bilion didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

DOJ percaya dana 1MDB bernilai sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion telah disalahgunakan dengan antaranya menerusi sistem perbankan AS.

“Semua ini membuktikan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar UM bersekongkol dengan Umno untuk membersihkan minda pelajar,” dakwa beliau.
Beliau berkata, program yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) adalah berat sebelah dengan tidak menjemput Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang mengikuti skandal 1MDB dengan teliti.

Presiden yang juga ketua pegawai eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy secara peribadi telah menjelaskan dana berkenaan yang diselubungi skandal kepada para pelajar, semalam.

– M’kini

.