KUMPULAN KRISTIAN TURUT SERTAI DEMO BALTULMUQADDIS HARI INI

Sekumpulan aktivis Kristian akan turut berkumpul di perkarangan Masjid Putrajaya tengah hari ini bagi menyuarakan bantahan terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara baru Israel.

Association of NextGen Christians of Malaysia (Ancom) berkata mereka bertindak demikian bagi menyatakan sokongan dan setiakawan dengan umat Islam dalam isu itu.

“Ancom terkejut dengan keputusan terbaru Trump untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan tindakan memulakan proses perpindahan kedutaan AS di sana.

“Kami berpendapat keputusan itu mempunyai agenda politik dan melibatkan kedudukan politik dalaman serta sama sekali bercanggah dengan ajaran Bible.

“Kami bimbang terhadap kesan buruk yang menjejaskan penyelesaian adil untuk kemelut panjang Israel-Palestin,” katanya.

Ancom juga berkata langkah Trump itu bukan sahaja akan merosakkan kedamaian rakyat Israel dan Palestin tetapi juga akan memburukkan lagi ketegangan antara umat Islam, Yahudi dan Kristian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan turut hadir menyertai perhimpunan hari ini.

– M’kini

.