Kumpulan keluar PKR tubuh Parti Harapan Rakyat Sabah?

SHAH ALAM – Pimpinan PKR Sabah yang meninggalkan parti berkenaan bersama 18 ketua cabangnya telah mendaftar parti baharu, iaitu Parti Harapan Rakyat Sabah pada 22 September lalu.

Difahamkan, mereka akan mengisytiharkan meninggalkan PKR jam 2 petang ini dalam satu majlis di Kota Kinabalu sebelum mengumumkan Parti Harapan Rakyat Sabah.

Sebelum ini, mereka dikatakan telah ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan bagi mengambil alih sebuah parti sedia ada, Parti Perpaduan Kebangsaan Rakyat Sabah.

Bagaimanapun, sumber berkata, kumpulan ini menukarkan rancangan pada saat akhir dan memilih untuk mendaftarkan parti baharu.

“Kami memilih untuk mendaftarkan parti baharu, ia dilihat lebih baik untuk masa depan rakyat Sabah.

“Walaupun keluar daripada PKR, tetapi kami tetap akan bersama kelompok pembangkang, iaitu menumpaskan BN,” katanya.

Pemimpin berkenaan telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai pemimpin kanan PKR Sabah bersama 18 lagi ketua cabang kepada presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini, 22 September 2016 lalu bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal yang mengisytiharkan diri keluar Umno juga melakukan tindakan sama iaitu mengambil alih parti yang sedia.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pertemuannya dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada hari berkenaan adalah bagi proses penukaran nama dan logo parti tersebut.

Shafie yang digugurkan daripada Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak 28 Julai lalu bertindak keluar Umno pada 4 Julai lepas setelah digantung keahliannya.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata lagi, parti politik yang akan diambil-alihnya adalah yang berkonsepkan pelbagai kaum yang ditubuhkan pada 2013.

Dalam PRU 13 lalu, BN memenangi 48 kerusi Dun daripada 60 yang dipertandingkan, PKR 7, DAP 4 dan satu kerusi Star.

Bagi Parlimen, BN memenangi 21 kerusi daripada 25 yang dipertandingkan, DAP 2 dan satu kerusi dimenangi PKR dan Bebas.

– Sinar Harian

.