Kumpulan Baju Merah tak semesti penyokong Umno – Annuar

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menyangkal dakwaan tuduhan sesetengah pihak bahawa Gerakan Baju Merah yang dilabel bersikap agresif didalangi oleh Umno.

Beliau berkata, isu baju merah tidak pernah dibawa atau dijadikan agenda mesyuarat Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan Jawatankuasa Pengurusan Umno.

“Kita tak boleh label mana-mana individu yang pakai baju merah itu Umno dan kalau agresif itu bukan mewakili parti tapi individu,”katanya selepas mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua penerangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata, tidak wajar mengaitkan penyokong baju merah sebagai mat rempit dan dibayar.

“Kalau mereka mat rempit apakah mereka kelas dua dalam negara ini? Adakah kerana mereka mat rempit dan berbaju merah mereka tidak berhak menyampaikan perasaan hati mereka,” katanya.

Soal Annuar juga, kenapa begitu mudah mengandaikan mereka diupah dan Bersih tidak.

“Saya menghormati rakyat yang hendak mengunjuk rasa,” katanya.

Terdahulu pada sabtu lepas, siri konvoi Bersih 5 di Lumut Perak menyaksikan pertembungan dengan sekumpulan penyokong baju merah di ketuai Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Dalam insiden itu Jamal didakwa telah mengasari penyokong Bersih.

– Sinar Harian

.