KULIM-BANDAR BAHARU BERI GAMBARAN ISU PENGUNDI BANDAR-LUAR BANDAR

Menuju Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), The Malaysian Insight memulakan siri laporan mengupas kerusi-kerusi marginal. Kami akan meneliti isu-isu yang boleh mempengaruhi corak pengundian. Fokus hari ini adalah Kulim-Bandar Baharu.

JIKA anda tertanya-tanya kenapa Barisan Nasional (BN) selama ini kekal berkuasa biarpun terpalit dengan pelbagai skandal walaupun pembangkang meraih undi popular dalam Pilihan Raya Umum 13 (PRU13), tidak usah merenung jauh, lihat saja Kulim-Bandar Baharu.

Kerusi Parlimen itu beralih daripada BN kepada pembangkang pada 2008 dan jatuh semula kepada BN pada 2013 dalam persaingan sengit dengan majoriti hanya 3%. Pada satu sisi, ada kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada BN; pada sisi yang lain, ada kesedaran yang meningkat betapa isu-isu nasional boleh dan sememangnya mempengaruhi kehidupan penduduk setempat.

Cubalah bertanya pada Jam Dan yang seumur hidupnya tinggal di Bandar Baharu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan bandar dalam kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu di Kedah. Dia sebelum ini bekerja memungut kelapa sawit, sekarang dia mencuci pinggan di sebuah warung makan.

Mencuci pinggan di warung makan membolehkan dia mendapat makan percuma dan upah sekadar RM15 sehari. Jumlah ini kurang berbanding RM25 hingga RM40 yang dia biasa dapat setiap hari mengutip kelapa sawit. Tetapi pada umurnya 64 tahun, Jam Dan sudah tidak lagi larat mengangkat berat.

Lelaki bertubuh besar ini suatu masa dulu biasa memotong antara 20 hingga 40 kilogram tandan kelapa sawit dan memikulnya naik lori untuk dibawa ke kilang. Banyak mana dia mampu memotong kelapa sawit, banyak itulah upah sehari yang dia akan bawa balik.

Dia tidak mengendahkan perbualan tiga lelaki di sebuah meja di warung tempat dia bekerja. Tiga lelaki itu berbual tentang berita terkini, tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tentang ekonomi dan tentang bagaimana bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah kembali dalam politik, kali ini bersama pembangkang.

Jam Dan, yang mengundi setiap kali ada pilihan raya, berkata dia hanya mengundi BN dan tidak nampak sebab lain untuk mengubah undinya.

Isu nasional seperti skandal 1MDB atau ekonomi dia tidak peduli kerana setiap bulan dia dapat jatah beras 20 kilogram bersama barangan ruji lain daripada pemimpin Umno setempat.

Jamaluddin Latif, ketua bahagian Umno Sungai Buloh sewaktu ditemui di Selama, Kedah mengatakan dia tidak peduli dengan cakap-cakap orang tentang 1MDB atau situasi ekonomi yang tidak berapa baik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2017.
Jamaluddin Latif, ketua bahagian Umno Sungai Buloh sewaktu ditemui di Selama, Kedah mengatakan dia tidak peduli dengan cakap-cakap orang tentang 1MDB atau situasi ekonomi yang tidak berapa baik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2017.

“Saya tetap akan tengok siapa calon kerusi negeri dan Parlimen. Tetapi apabila pilihan raya tiba, saya akan tanya orang siapa yang patut kita undi,” kata lelaki berkulit gelap yang diratah matahari itu, sambil menunjuk jari kepada kawannya.

Kawannya, Jamaluddin Latif, tampak lebih arif tentang politik tetapi dia juga tidak peduli tentang 1MDB, Dr Mahathir atau cakap-cakap orang yang mengatakan ekonomi tidak begitu baik.

Walaupun ada suara-suara merungut tentang ekonomi, kata Jamaluddin orang masih boleh bertahan.

“Dr Mahathir, saya tak percaya dia lagi sebab sekarang dia bekerja dengan DAP. Anaknya, Mukhriz okay. Saya suka dia,” kata Jamaluddin, yang juga ketua cawangan Umno Sg Buloh.

Tetapi Mukhriz semata-mata, walaupun anak jati Kedah seperti bapanya Dr Mahathir, tidak akan meyakinkan ahli Umno ini untuk mengundi pembangkang.

Di sebuah meja lain, bekas “penghulu” Kedah, Musa Ibrahim sibuk meyakinkan kawan-kawannya kenapa kerajaan sekarang merugikan Bandar Baharu.

Ketua kampung pencen yang pernah berkhidmat selama 30 tahun itu berkata daerah berkenaan perlukan lebih banyak pembangunan kerana janji kerajaan negeri sekarang untuk membina hospital dan meningkatkan perkhidmatan kerajaan belum juga dipenuhi.

Kos sara hidup lebih tinggi di Bandar Baharu kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST), katanya lagi.

“Di bandar, orang ada peluang buat dua kerja dengan membawa Uber tetapi di kampung, pendapatan kami takat itu saja. Harga getah dah bertahun-tahun sangkut takat RM2 sekilo. Harga barang naik sebab GST ini betul-betul menyusahkan,” kata Musa.

Baginya jelas, Bandar Baharu mesti mengundi pembangkang supaya hidup jadi lebih senang.

Demi anak cucu

Kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu hanyalah satu daripada lebih 50 kerusi di Semenanjung yang dimenangi pada pilihan raya umum 2013 dengan undi kurang daripada 5%. Ia juga satu daripada beberapa buah kerusi yang komposisi pengundinya terpecah kepada  bandar dan luar bandar.

Musa Ibrahim pula berpandangan kerajaan kini tidak menguntungkan penduduk Bandar Baharu dan sibuk menyakinkan orang ramai supaya mengubah undi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2017.
Musa Ibrahim pula berpandangan kerajaan kini tidak menguntungkan penduduk Bandar Baharu dan sibuk menyakinkan orang ramai supaya mengubah undi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2017.

Satu lagi kerusi DUN bandar dalam kawasan pilihan raya ini adalah Kulim, sementara DUN Bandar Baharu adalah kawasan pedalaman menjadi petanda yang akan ada isu berlainan yang akan menentukan corak pengundian pada pilihan raya umum nanti, yang mesti diadakan sebelum Ogos 2018.

Di kawasan bandar Kulim, isu nasional seperti rasuah, kos sara hidup dan peluang pekerjaan mempengaruhi pengundi.

Bagi Chris Loh yang sudah lama mengundi, hala tuju masa depan negara jadi keutamaan apabila datang pilihan raya nanti.

Walaupun merasai beban kos sara hidup yang menekan, pesara 64 tahun itu berkata isu yang ada berkaitan dengan penyelewengan kerajaan lebih mengganggunya dan dia akan mengundi “demi masa depan anak cucu.” Ini lazimnya adalah kata lain bagi mengundi pembangkang.

Zaim Mohd Talib pula baru lulus universiti dan baru mula bekerja di sebuah bank di Pulau Pinang. Sama seperti ramai anak muda, dia meninggalkan Kulim untuk hidup yang lebih cerah kerana tidak ada peluang pekerjaan setaraf pendidikannya di sana.

Dia menumpang sebuah bilik di Pulau Pinang dengan sewa RM250 sebulan. Pada hari bekerja, dia tinggal di Pulau Pinang tetapi setiap hujung minggu, dia memandu lebih kurang sejam untuk pulang ke Kulim.

Lulusan fotografi itu berkata dia tidak menjumpai kerja yang sesuai kerana Taman Teknologi Tinggi yang terletak tidak jauh dari Kulim itu lebih mahukan pekerja kolar biru berbanding anak muda sepertinya yang berkelulusan seni.

“Kami perlukan lebih banyak peluang kerja di Kulim,” kata anak muda 23 tahun itu semasa ditemui di Taman Tasik Kulim.

Selebihnya, Zaim juga bimbang tentang kos hidup yang tinggi.

“Saya boleh rasakannya. Beberapa tahun dulu, harga nasi campur di Kulim — nasi, ayam dan sayur — harganya RM4.50 tetapi sekarang naik sampai RM6-7.”

“Apabila harga minta naik, semua barang lain naik juga,” tambahnya.

Mahu undi siapa?

Ketika pengundi di kawasan Kulim lebih pedulikan isu nasional seperti 1MDB, rasuah, kos hidup dan keadaan ekonomi, mereka yang di kawasan luar bandar di Bandar Baharu lebih cenderung kepada kekuatan jentera parti dan calon yang dimajukan nanti.

Dalam pilihan raya 2013, calon kerusi Parlimen PKR, Saifuddin Nasution Ismail menang di pusat daerah mengundi di Kulim dengan 800 undi tetapi kerusi DUN Kulim tetap dimenangi calon BN, Chua Tiong Ghee dengan majoriti 634 undi.

Menurut jentera pilihan raya PKR, berlaku pecah undi di pusat daerah mengundi Kulim yang menyebabkan calon PKR Chu Maw Nian kalah kerusi DUN itu. Pengundi Kulim dikatakan kurang senang dengan wakil rakyat PKR sebelumnya, Lim Soo Nee.

Saifuddin bagaimanapun kalah di pusat daerah mengundi Bandar Baharu dengan lebih 2,400 undi menjadikan beliau kalah kerusi Parlimen Kulim dengan 1,871 undi. Setiausaha agung PKR itu kalah kepada calon BN Abd Aziz Sheikh FAdzir dengan majoriti 3.62%.

Ini merupakan peralihan yang besar terhadap pembangkang kerana ahli parlimen sebelumnya Zulkifli Nordin mengalahkan Abd Aziz dengan 5,583 undi atau 14.34% pada 2008.

Pada pilihan raya akan datang ini, pembangkang perlu memecahkan penguasaan BN di Bandar Baharu kalau ia mahu merampas semula kawasan Kulim-Bandar Baharu