KUATKAN SEMANGAT RAFIZI, KATA DR MAHATHIR

DR Mahathir Mohamad memberitahu Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang dijatuhkan hukuman kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) berhubung kebocoran akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd minggu lalu agar “menguatkan semangat”.

Ini merupakan kemunculan pertama pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Jumaat.

“Jangan berasa kecewa. Kita berjuang mungkin mengambil masa. Mungkin menang, mungkin kalah.

“Tetapi perjuangan mestilah kita teruskan untuk bangsa dan negara,” kata Dr Mahathir melalui video disiarkan di akaun Twitter rasminya, @chedetofficial.

Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri dimasukkan ke IJN minggu lalu kerana jangkitan di dadanya dan demam.

Menurut IJN, Dr Mahathir dimasukkan ke wad biasa untuk rawatan dan pemantauan.

Dalam video tersebut, Dr Mahathir dilihat seperti sudah berada di pejabatnya dan bertugas seperti biasa.

Minggu lalu, Rafizi dan bekas kerani bank Johari Mohamad dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melanggar Akta Bafia.

Pada 2011, Rafizi mendedahkan pembelian unit kondominium mewah oleh syarikat penternakan nasional itu.

NFC dimiliki oleh Mohamad Salleh Ismail, yang merupakan suami kepada ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2010 juga mendedahkan NFC gagal mencapai sasarannya untuk membiak 8,000 baka lembu di Gemas, Negeri Sembilan selain menyatakan kegagalan pengurusannya.

Pada November 2016, Rafizi kalah dalam saman fitnah dan diarah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada Salleh dan NFC kerana mendakwa pinjaman bank yang diambil oleh syarikat itu digunakan untuk membeli kondominium.

Peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan dibenarkan oleh mahkamah.

“Kami memohon penangguhan hukuman dan dibenarkan oleh mahkamah dengan jaminan RM15,000,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.