KUASAI MEDIA BAHARU TANGKIS PERSEPSI NEGATIF

KUALA LUMPUR – Ketiga-tiga sayap UMNO perlu menguasai media baharu bagi menangkis persepsi negatif yang disebarkan oleh pakatan pembangkang terhadap kerajaan dalam usaha memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui satu kajian yang dijalankan, sebanyak 87 peratus persepsi negatif terhadap kerajaan dan pemimpin BN adalah disebabkan pengaruh fitnah yang disebarkan melalui media baharu.

Malah, katanya, kerajaan BN hampir tumbang pada pilihan raya sebelum ini kerana kegagalan jentera UMNO menangkis persepsi negatif yang disebarkan oleh tentera siber pakatan pembangkang.

“Hanya 6.6 peratus tentera siber yang memihak kepada kerajaan manakala 93.4 peratus pula menyebarkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

“Walaupun kaedah konvensional seperti bersemuka dengan rakyat masih penting tetapi kita perlu menerima hakikat dan keluar daripada kepompong lama dengan menguasai alam maya bermula dengan Wanita UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Skuad Pene­rangan dan Media anjuran Sekretariat Penerangan Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan kerja-kerja Timbalan Pre­siden berkata, jentera penerangan UMNO perlu mempelajari bagaimana Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berjaya menang dalam pilihan raya Presiden negara tersebut setelah berjaya menguasai media sosial.

“Penguasaan media sosial oleh pasukan komunikasi Trump membolehkan beliau menang dalam pilihan raya Presiden walaupun pelbagai persepsi negatif timbul terhadap beliau.

“UMNO boleh mencontohi gerakan ini tetapi dengan menggunakan acuan UMNO,” jelasnya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50), Ahmad Zahid berkata, Wanita UMNO juga perlu melibatkan diri dalam agenda tersebut memandangkan ia merupakan satu transformasi bagi membentuk masa depan yang lebih baik terhadap golongan wanita.

“Program-program Wanita UMNO perlu diselaraskan dengan agenda TN50 mulai sekarang, kalau kita tidak lakukannya kita akan tenggelam.

“Matlamat kita ketika itu ialah mahu melihat golongan wanita cemerlang dalam semua aspek dan kepemimpinan, mungkin pada waktu itu Perdana Menteri kita wanita dan lebih ramai menteri besar wanita,” jelasnya.

– UTUSAN

.