KUASA ASING BAKAL JAJAH MALAYSIA, KATA PEMIMPIN PKR

Dalam menyerahkan hak memilih kontraktor bagi projek Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kepada kerajaan China, Malaysia telah menafikan syarikat-syarikat tempatan daripada mendapatkan pengalaman, kata ADUN Bandar, Azan Ismail.

“Bagi saya, amatlah malang Malaysia tidak mempunyai hak untuk menentukan kontraktor pilihan dalam projek di negara sendiri.

“Malah, situasi ini akan menyisihkan syarikat-syarikat tempatan sehingga tidak akan berlaku perpindahan pengetahuan dan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu, berkata ini adalah projek strategik nasional pertama yang diserahkan bulat-bulat kepada sebuah negara asing untuk dilaksanakan.

“Projek ECRL ini juga menelan kos terlalu tinggi. Kos yang sepatutnya adalah separuh daripada RM55 bilion.

“Manakala pembiayaan daripada China adalah berbentuk pinjaman, yang bermaksud pembayar cukai dan generasi akan datang wajib membayar kembali pinjaman yang dibuat oleh kerajaan Malaysia pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, kebergantungan kepada China untuk pinjaman bagi melaksanakan projek itu, termasuk tawaran lain seperti penjualan aset negara Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange, menyaksikan negara asing “menjajah” Malaysia melalui kuasa ekonomi.

“Bagi saya, situasi ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mula dijajah oleh kuasa asing melalui dominasi pekerjaan, pemberian projek dan hutang 1MDB yang sukar dibayar.

“Kesan pinjaman modal daripada China ini, kelihatan kerajaan Umno BN yang terhutang budi seolah-olah berdiam diri dan tidak mempertahankan hak-hak Malaysia di kawasan Laut China Selatan,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia membantah keras kemasukan China di kawasan tuntutan bertindih di Kepulauan Spartly yang menjadi wilayah pertikaian serta perebutan antara negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Brunei, Taiwan, Indonesia dan Filipina.

Azan juga membidas kurangnya ketelusan dalam syarat-syarat pembayaran balik pinjaman dan faedah.
Mengikut jawapan bertulis Parlimen oleh Perdana Menteri Najib Razak, bulan lalu, Malaysia diberikan syarat-syarat pembiayaan yang menarik sebagai pertukaran untuk China mencalonkan kontraktor pilihannya.