KU NAN TODAK BIJAK: PEMBANGKANG TIADA KUASA KAWAL HARGA

SHAH ALAM – DAP menyifatkan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa anggota pembangkang mendalangi kenaikan harga makanan melalui penyertaan dalam pertubuhan restoran sebagai tidak bijak dan bermotif politik.

Setiausaha Organisasi Kebangsaannya, Anthony Loke berkata, caj meningkat di restoran bukan di bawah kawalan pembangkang mahupun kerajaan negeri, sebaliknya peningkatan harga barangan adalah dasar yang ditentukan kerajaan.

“Pembangkang tidak ada kuasa untuk kawal harga-harga tersebut, jadi ini adalah kenyataan tidak masuk akal kerana nak tutup kegagalan BN urus ekonomi negara dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Tengku Adnan mendakwa institusi pengusaha makanan sedia ada kini dianggotai oleh pemimpin parti pembangkang yang secara tidak langsung mengenakan caj mahal kepada pengguna.
Menurut Tengku Adnan, anggota di dalam mesyuarat pertubuhan (restoran) terdiri daripada DAP, PKR dan mereka berperanan menidakkan bantuan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat.

Anthony berkata, Tengku Adnan membuat kenyataan tanpa waras yang sukar diterima oleh rakyat.

“Saya rasa kenyataan macam ini budak sekolah pun tidak percaya. Bagaimana DAP dan PKR boleh mengawal? Apa sebab kami nak buat macam tu. Jadi kita anggap ia kenyataan merapu sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan itu didorong oleh faktor pasaran.

“Mengapa mereka naikkan harga? Pertama kerana kos perniagaan mereka meningkat.

“Peningkatan itu kerana dasar-dasar kerajaan, seperti harga minyak tinggi, penarikan subsidi untuk harga-harga keperluan, harga gula naik, tepung naik. Jadi ini menyebabkan kos perniagaan juga meningkat,” katanya.

– SH