KU NAN, SAMPAI BILA BN NAK ‘KENCING’ RAKYAT MALAYSIA

MENTERI Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, “Saya takut besok bila anak-anak kita besar, cucu-cicit kita besar, dia pergi ke kubur kita, dia kencing di kubur kita.

“Dia kata apalah tok (datuk) aku ini, berjuang apa. Aku hidup sengsara. Itu sebab Umno perlu dipertahankan demi agama bangsa dan negara,” ujar beliau yang popular dengan gelaran Ku Nan mengenai prestasi semasa Barisan Nasional (BN) di Wilayah Persekutuan.

Justeru, kata beliau, BN perlu merampas semula sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutan yang kini dikuasai pembangkang dengan keutamaan adalah Parlimen Wangsa Maju dan Lembah Pantai.

Itu jika BN kalah dan Ku Nan khuatir jika ia berlaku, tetapi, bagaimana pula dengan ‘derita’ yang ditanggung warga kota ekoran pelaksanaan cukai barangan serta perkhidmatan (GST), pengenaan caj letak kereta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta harga petrol mahal yang terkesan kepada mereka.
Bahasa orang muda

Dalam bahasa pasar di kalangan orang muda, ‘kena kencing’ bermaksud ditipu dan ia sangat berbeza dengan perbuatan mengeluarkan air najis dari kemaluan seperti yang ditakuti Ku Nan itu.

Dalam hal pelaksanaan GST, rakyat negara ini ‘kena kencing’ oleh BN setelah Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan menipu orang ramai dengan mengatakan pelaksanaan GST boleh menurunkan harga barang seperti kereta, perabot dan juga barangan elektrik.

Dakwa Ahmad Maslan sebelum ini, harga bagi sesetengah barangan mampu diturunkan kerana sebelum ini ianya dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berjumlah 10%, tetapi hanya dikenakan GST sebanyak 6%.

Pun begitu, sejak pelaksanaan GST yang kini memasuki tahun ketiganya bukan sahaja tidak menurunkan harga seperti dijanjikan Ahmad malah menyebabkan kadar inflasi melonjak ke paras 5.1 peratus pada bulan April yang lalu, paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Slogan Satu Malaysia

Tidak cukup dengan itu, BN juga melaung-laungkan sloga ‘Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan’ yang seolah-olah membayangkan kerajaan mengutamakan rakyat dalam aspek pentadbiran negara terutama pengurusan ekonomi.

Meleset dari jangkaan tersebut, warga kota ‘didahulukan’ ketika DBKL berhempas-pulas mencari sumber pendapatan dengan menaikkan kadar caj meletak kenderaan sebanyak 150% ke atas 46,100 meter petak parkir di sekitar ibu kota.

Di bawah struktur harga baharu tersebut yang bermula sekitar pertengahan tahun lepas, caj meletak kenderaan bagi tempat tumpuan perniagaan itu dinaikkan dari RM0.80 sejam ke RM2 sejam untuk sejam yang pertama.

Selepas itu, caj sebanyak RM3 akan dikenakan pada jam kedua dan berikutnya.

Rakyat juga terus ‘didahulukan’ BN dalam aspek pemansuhan subsidi ke atas bahan bakar petrol dan diesel sehingga paras harga komoditi tersebut menjadi tidak stabil.

Dengan pelaksanaan GST, kenaikan caj meletak kenderaan DBKL dan pemansuhan subdiri tersebut, rakyat ‘dikencing’ BN selepas berjanji untuk tidak menyusahkan mereka sejurus selepas mengekalkan kuasa di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Justeru, terpulanglah kepada rakyat terutama warga kota sama ada mahu mengekalkan pembangkang di sembilan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan dan terus memberikan kemenangan kepada BN di dua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan iaitu Setiawanga dan Titiwangsa atau sebaliknya.

– https://www.themalaysianinsight.com.