KU NAN MINTA DR MAHATHIR IKUT PEREDARAN MASA

SETIAUSAHA Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau tidak dapat memahami keadaan yang menyebabkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk kembali menyandang jawatan tersebut.

Tengku Adnan juga berkata Dr Mahathir sepatutnya mengakui bahawa pentadbiran Najib Razak adalah yang terbaik pada masa ini dan menasihati negarawan itu supaya mengikut peredaran masa.

“Saya pun hairan kenapa dia (Dr Mahathir) minat balik untuk nak mentadbir dan menjadi perdana menteri. Saya tak faham..

“Dia dulu bekas PM. Dia sudah tahu bahawa apa yang dilakukan PM sekarang adalah terbaik demi negara kita. Ia berbeza kerana masa beredar dan berubah.

“Kita kena terima hakikat bahawa keadaan dan masa ini berlainan (berbanding) ketika dia mentadbir negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan di Danau Kota, Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir semalam menjelaskan beliau pada mulanya enggan menerima pencalonan sebagai perdana menteri, namun akhirnya beliau terpaksa akur dengan suara ramai dalam PH yang mahu beliau menjadi perdana menteri sekali lagi.

Dr Mahathir berkata beliau juga tidak dapat berehat dari politik walau melepaskan kuasa 15 tahun lalu kerana tidak tahan dengan tindakan pengganti pilihannya.

Pengerusi Pakatan Harapan itu merupakan antara tokoh yang paling lantang mengkritik Najib Razak, terutama berhubung pentadbiran dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau juga giat membangkitkan Abdullah Ahmad Badawi atas kelemahan pentadbiran bekas perdana menteri itu, antaranya atas pembatalan projek dirancangnya termasuk jambatan bengkok yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Mengulas lanjut mengenai calon pilihan PH sebagai perdana menteri itu, Tengku Adnan berkata ia menunjukkan bahwa gabungan parti itu ketandusan idea.

“Ini masalah, barangkali mereka tidak ada calon dan ketandusan calon itu pertama. Saya tak faham kenapa mereka nak kitar semula kerana Tun M telah meletakkan jawatan selepas 22 tahun mentadbir negara,” katanya lagi.

Cadangan untuk mencalonkan Dr Mahathir menjadi perdana menteri itu diputuskan oleh PH sebagai resolusi konvensyen gabungan parti itu, Ahad lalu

PH turut mencalonkan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri apabila menang PRU14 nanti.

Konvensyen itu turut mengumumkan persetujuan empat parti tersebut mengambil langkah mendapatkan pembebasan segera bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

– https://www.themalaysianinsight.com

.