KU NAN, JANGAN HINA PELAJAR UITM

DALAM video klip yang disiarkan oleh media, Tengku Adnan Tengku Mansor ada menyebut “kalau slow-learner, masuk UiTM”. Ini merupakan satu penghinaan kepada ribuan pelajar yang menuntut di Universiti Teknologi MARA.

Pengorbanan ratusan ribu graduan dan pelajar UiTM inilah yang telah banyak mencurahkan jasa dan bakti mereka untuk membangunkan bangsa dan negara.

Laporan Penarafan Kebolehpasaran Graduan Dunia QS 2018 menyenaraikan UiTM antara tiga terbaik di Malaysia. Mampukah universiti “slow-learner” memasarkan graduan mereka pada tahap yang tinggi?

Manakala dalam dunia perdebatan pula, tiga tokoh debat yang disegani di pentas dunia datangnya dari UiTM iaitu Mifzal Mohd, Jasmine Ho dan Maizura Mokhsein yang juga pendebat terbaik Asia.

Kenyataan dangkal ini tidak sepatutnya datang daripada seorang yang berstatus menteri, kenyataan yang akan memberikan lebih banyak impak yang negatif terhadap pelajar UiTM. Ini akan mengakibatkan diskriminasi yang lebih teruk terhadap mereka.

Dahulu, ratusan pelajar UiTM dikerah untuk hadir sambutan ulang tahun partinya. Kini, Ku Nan merendah-rendahkan status mereka. Jelas lagi bersuluh, pelajar ini diperalatkan untuk kepentingan parti sahaja.

Ku Nan sebagai menteri sepatutnya membantu mereka bukannya mengeruhkan lagi keadaan. Cukuplah tanggapan salah segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap keupayaan mereka. Jangan mencurah minyak ke api.

Dengan ini, Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia mendesak Ku Nan menarik semula kenyataan dangkal ini. Semua pelajar adalah aset kepada negara.

– https://www.themalaysianinsight.com

.