KU NAN GESA PENGUNDI CHERAS ‘KEJUTKAN’ DAP DALAM PRU14

Dalam persinggahan pertamanya dalam siri Kenduri Rakyat 1Wilayah Persekutuan hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa pengundi di Cheras supaya mengembalikan kerusi Parlimen tersebut kepada Barisan Nasional.

Berucap kepada kira-kira 3,000 tetamu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, Tengku Adnan berkata pengundi mesti bersedia untuk membuat “kejutan” terhadap Ahli Parlimen DAP Cheras Tan Kok Wai dalam pilihan raya umum ke-14.

Ia sebagai menyatakan bahawa mereka tidak lagi memerlukan Tan dan roket di situ, kata Tengku Adnan dalam pembukaan ucapannya.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan, Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional Cheras.

Tengku Adnan seterusnya mengingatkan penduduk mengenai pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kementeriannya, termasuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma untuk kanak-kanak PPR dan pengenalan semula kad diskaun Wilayah Ceria.

“Adakah kerajaan Tan Kok Wai lebih baik daripada kita? (BN),” soalnya sambil meminta penduduk supaya jangan terpengaruh dengan orang-orang yang tamak .

Ahli Parlimen Putrajaya itu juga mendakwa bahawa selepas lima penggal di bawah DAP dan Tan, Cheras kekal mundur.

Antara lain, Tengku Adnan berkata, beliau memberi arahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menangani isu kesesakan lalu lintas, terutamanya di Bulatan Cheras dan kawasan-kawasan sekitar.

Tengku Adnan juga mengingatkan pengundi mengenai sebuah “parti Melayu baru” yang beliau dakwa telah ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin yang kecewa dengan Umno.
Beliau sebelum itu berkata program Kenduri 1Wilayah Persekutuan diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan bertujuan memupuk perpaduan di kalangan penduduk PPR di kawasan berkenaan.

– M’kini

.