KU NAN: APA LAGI BOLEH SAYA BANTU PENDUDUK WILAYAH?

Selaku Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sentiasa menanyakan apa yang boleh dilakukannya kepada penduduk yang tinggal di kawasan itu.

Tengku Adnan berkata beliau dikelilingi oleh pegawai yang banyak membantu ketika mahu memberikan keselesaan kepada penduduk.

“Saya tidak tahu apa lagi yang boleh saya lakukan untuk kamu, apa saja yang kamu hendak, apa sahaja yang kamu perlukan.

“Sebagai menteri Wilayah Persekutuan, saya bersyukur kepada Tuhan, saya dapat ketua setiausaha yang baik, Datuk Bandar (dan) pegawai yang baik di lapangan yang bersedia membantu saya untuk memberikan keselesaan kepada rakyat.

“Tanpa mereka saya tidak akan dapat laksanakan apa yang saya ingin laksanakan,”katanya.

Tengku Adnan berkata demikian di hadapan 2,000 orang yang hadir semasa sambutan kenduri 1Wilayah yang diadakan bersempena dengan hari Wilayah Persekutuan di Danau Kota, Setapak malam tadi.

Danau Kota berada di bawah kerusi parlimen Wangsa Maju.

Menurut anggaran Tengku Adnan, seramai 15,000 orang hadir pada acara itu.

Aneka makanan

Orang ramai yang datang dihidangkan dengan pelbagai aneka makanan dari gerai yang disediakan sehingga larut malam. Selain itu mereka juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan dan sesi cabutan bertuah.

Ketua Bahagian Umno Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah dalam ucapannya memberikan contoh permintaan penduduk Flat Danau Kota supaya blok kediaman mereka dicat baru, manakala lif dan jalan diperbaiki, telah diluluskan oleh Tengku Adnan tanpa banyak soal.

Shafei berkata, begitu juga permintaan penduduk di kawasan lain di Wangsa Maju juga telah ditunaikan.

“Datuk Seri (Tengku Adnan) cakap kat saya, saya tak tahu apa lagi nak buat kat Wilayah ni. Saya bukan nak kipas tapi the reality beliau jadi menteri Wilayah, apabila rakyat pohon (bantuan), mengeluh, beliau sentiasa luluskan apa diminta.

“Banyak lagi telah diberi, saya harap rakyat Wangsa Maju sedarlah, insaflah, betapa beruntung kita berada di bawah BN,” katanya.

‘Guna jejari emas undi BN’

Shafei mengakhiri ucapannya dengan mengatakan mereka tidak meminta rakyat Wangsa Maju membina lif, tempat letak kereta atau mengecat kediaman mereka sendiri.

“Kita tak minta tu, itu kerja kita. Kerja tuan-tuan untuk tolong kita tolong balik tuan-tuan.

“Nak tolong bukan payah, bukan guna duit, guna jari, tangan je. Yang penting masa “raya besar” guna jejari emas untuk undi BN,” katanya.

Tengku Adnan kemudian mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk mengundi sesiapa sahaja yang mereka mahu.

“Tapi suka untuk saya ingatkan kepada semua, apa jua dinikmati rakyat hari ni semua hasil usaha berterusan kerajaan BN yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala-galanya,” katanya.

Sambil menyebut ekonomi negara lebih kukuh pada tahun ini, Tengku Adnan menggesa mereka yang hadir terus menyokong kerajaan bagi memastikan negara “terus aman dan makmur”.

“Jangan dengar cerita karut-karut dari luar, ini cerita persepsi, fitnah yang sengaja dilakukan untuk mengelirukan minda rakyat.

“Jadi saya rayu jangan mudah minda boleh dimanipulasikan orang-orang tak bertanggungjawab.

“Jangan sebarkan berita palsu dan separuh betul, kita sebar cerita semasa,” katanya.

MP pembangkang tak nampak muka’

Menurut Tengku Adnan, beliau mendengar orang ramai menggelar Shafei sebagai “Yang Berhormat” dan menyatakan perkara itu boleh menjadi kenyataan sekiranya pengundi Wangsa Maju memilih BN pada PRU akan datang.

“Walaupun ni kawasan pembangkang, wakil rakyat langsung tak nampak muka, tak tolong (penduduk). Yang tolong kita (ialah) shafie minta dekat saya nak ini nak itu. Kita ni kasih kepada rakyat,” katanya.

Kerusi parlimen Wangsa Maju kini disandang oleh Dr Tan Kee Kwong dari PKR selepas mengalahkan Shafei dengan majoriti 5,511 undi pada PRU lalu.

Sementara itu penduduk flat Danau Kota yang ditemui Malaysiakini mengakui dakwaanTengku Adnan dan Shafei sebagai berasas.

Seorang suri rumah Sara Alias, 43, berkata permintaan mereka tidak ditunaikan dan beliau telah menyaksikan pelbagai perkembangan di kawasan itu sejak 2003.

Sara (gambar) juga mengesahkan dakwaan Tengku Adnan bahawa Tan “tidak pernah turun padang” di kawasan itu.

“Memang tak pernah (turun padang). Tak nampak apa-apa program. Cakap, janji nak laksana. Sampai sekarang tunggu, minta jalan tar tak buat. Turun padang tapi cakap je. Bila nak election dia turun,” katanya.

Mohamad Nawi, 52, juga berkata Shafi adalah individu yang lebih banyak memberi bantuan kepada penduduk setempat.

“Mood lebih (baik) kepada kerajaan. Bila bantuan datang boleh lupa kejap (isu minyak),” katanya yang merupakan seorang peniaga dan telah tinggal di kawasan itu sejak 12 tahun lalu.

Seperti yang lain, Ng Guan Bee (gambar) juga berkata Tan tidak pernah dilihat turun padang di kawasan itu.

Menurutnya hanya BN selalu mengadakan ceramah dan menyampaikan pelbagai bantuan seperti pakaian dan beg sekolah kepada penduduk.

“(Pembangkang) langsung tak nampak. Yang nampak BN. Bila nak undi dia turun, bila dah menang tak turun (bertemu penduduk),” kata pekerja kilang berusia 60 tahun itu.

Malaysiakini telah menghubungi Tan dan sedang menunggu maklumbalas mengenai dakwaan tersebut.

– M’kini

.