‘KU NAN ADA AGENDA’

EORGETOWN – Hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ingin menjadikan Pulau Pinang sebahagian dari Wilayah Persekutuan dilihat ada agenda tertentu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, hasrat Tengku Adnan bermakna tiada pilihan raya negeri di Pulau Pinang, tiada ketua menteri, tiada Exco dan sidang Dun.

Menurutnya, cadangan itu jelas menunjukkan BN dan Umno tidak mempunyai harapan memperoleh sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

“Hasrat Ku Nan ini ada udang di sebalik batu. Beliau akan gunakan hasratnya ini untuk memfitnah DAP dan Kerajaan Pulau Pinang dengan menggunakan isu perkauman. Umno dan BN kini dalam ketakutan kerana akan kehilangan lebih banyak kerusi, bukan sahaja di Pulau Pinang malah seluruh negara pada PRU14,” katanya.

Ketua Parlimen DAP itu berkata demikian  di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang, semalam.

Kelmarin, Tengku Adnan dilaporkan berkata, cadangannya itu bagi memastikan Pulau Pinang mendapat limpahan pembangunan yang sama rata.

Menurut Tengku Adnan, beliau bukan berniat mahu meluaskan kuasa ke negeri itu, sebaliknya disebabkan keprihatinan terhadap nasib Melayu di sana.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Tengku Adnan berhubung pelaburan Kerajaan Pusat bernilai RM5 bilion ke atas Wilayah Persekutuan Labuan.

“Ketika Labuan diambil menjadi Wilayah Persekutuan, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh tidak bersetuju dengan tindakan itu. Malah tahun lalu, beliau meminta Kerajaan Pusat mengembalikan Labuan kepada

Sabah kerana janji BN dan Umno untuk menjadikan Labuan sebagai bandar berdaya maju tidak ditepati.

“Bukan sahaja tidak ditepati, malah diabaikan Kerajaan Pusat. Persoalannya, di mana wang RM5 bilion itu disalurkan sedangkan Tengku Adnan sendiri mengatakan peruntukan itu untuk pembangunan Labuan,” katanya.

– Sinar Harian

.