‘KU LI KATA MAHATHIR PUNCA UMNO KALAH DI KELANTAN PADA 1990’

Tengku Razaleigh Hamzah mengakui kekalahan Umno Kelantan di tangan PAS pada pilihan raya umum (PRU) 1990 yang menyaksikan negeri itu ditadbir parti pembangkang itu sehingga kini adalah berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Umno negeri itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (gambar) berkata, tokoh veteran Umno itu membuat pengakuan tersebut dalam mesyuarat Umno Kelantan yang turut dihadiri Presiden Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

“Saya telah menyentuh soal (keadaan) negeri Kelantan berada dalam keadaan begini sekarang adalah sebab Mahathir.

“Tengku (juga) bersetuju orang yang bertanggungjawab dengan kekalahan BN Kelantan adalah Mahathir, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya kepada media selepas majlis Penganugerahan Sandang Persatuan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia peringkat negeri di Kota Bharu, malam tadi.

Pada 1988, iaitu dua tahun sebelum PRU itu, berlaku perpecahan dalam Umno selepas Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li tewas kepada Mahathir dalam pemilihan presiden parti itu.

Ia menyebabkan Umno diharamkan dan sejumlah pemimpinnya diketua Ku Li keluar Umno untuk menubuhkan parti Semangat Melayu (46 (Semangat 46).

Semangat 46 bekerjasama dengan PAS pada PRU 1990 dan berjaya merampas Kelantan dari tangan BN.

Ahmad Jazlan berkata, perpecahan dalam Umno ketika itu disebabkan sikap Mahathir yang tidak menghormati rakan seperjuangan dan hanya memikirkan kepentingan peribadi.

“Mahathir berdosa pada Umno Kelantan. Di tangan Mahathir, negeri ini jatuh ke tangan PAS,” katanya lagi.

Ku Li siap turun padang

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, Ku Li yang pernah menjadi naib presiden Umno turut memaklumkan sedia membantu BN untuk menawan kembali Kelantan pada PRU akan datang.

“Beliau sentiasa konsisten dalam soal ini dan menyatakan akan (berjuang) habis-habisan untuk PRU nanti.

“Beliau juga turut bersedia untuk turun bertemu rakyat dan menyatakan kebenaran, apa yang umno lakukan dan kemungkaran pembangkang,” katanya yang juga timbalan menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

– M’kini

.