KU LI KATA AKAR UMBI TETAP TAK SETUJU KERJASAMA UMNO, PAS

TENGKU Razaleigh Hamzah sekali lagi menyelar kerjasama antara Umno dan PAS dan menegaskan ahli akar umbi bagi kedua-dua parti tidak bersetuju dengan langkah itu.

Pemimpin veteran Umno itu berkata, walaupun di peringkat atasan pemimpin kedua-dua parti itu semakin mempunyai hubungan baik, kerjasama itu tidak akan berjaya tanpa sokongan ahli parti.

“Orang bawah tak setuju (kerjasama Umno dan PAS). Pandangan saya tak penting.

“Orang Umno bawah, orang PAS bawah tak setuju. Itu hakikatnya. Di atas bolehlah berpeluk-peluk tapi di bawah ini, itu masalahnya,” kata ahli Parlimen Gua Musang itu kepada The Malaysian Insight.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagaiKu Li berkata pada Jumaat, beliau yakin Umno dan PAS tidak akan bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, Perdana Menteri Najib Razak juga mengesahkan bahawa tiada kerjasama dijalankan antara Umno dan PAS.

Perkara itu disahkan Najib Razak dalam satu pertemuan di kediaman Tengku Razaleigh di Kuala Lumpur pada Disember lalu,

Umno turut menghitung peluang untuk menguasai negeri itu semula dengan mengambil kira penyertaan parti serpihan PAS, Amanah, dalam pilihan raya di Kelantan.

Bagi Umno, pertembungan tiga penjuru di Kelantan akan menyebabkan BN kembali berkuasa di negeri itu, yang ditadbir PAS sejak tahun 1990.

Tengku Razaleigh memberitahu The Malaysian Insight, daripada laporan diterimanya, rakyat di negeri Kelantan sudah bersedia untuk membuat perubahan dalam pilihan raya kali ini.

“Kehidupan dia orang tak akan hanya nak bergantung kepada keadaan luar dari negeri Kelantan? Kelantan pun boleh menampung keperluan dia orang.

“Jadi kalaulah pimpinan PAS dah tak mampu, nampak lemah sekarang, jadi eloklah kalau Umno menawar diri untuk mengambil alih pimpinan negeri Kelantan,” kata putera raja Kelantan itu.

Tinjauan yang dilakukan The Malaysian Insight di Kelantan juga menunjukkan pengundi negeri itu cenderung untuk menolak PAS kali ini.

Hampir kesemua penduduk yang ditemubual berkata sentimen untuk mengubah kerajaan negeri turut dikongsi kalangan kenalan dan keluarga terdekat.

Tambah Tengku Razaleigh lagi, Umno mampu memberikan perkhidmatan dan pentadbiran yang terbaik sekiranya mendapat sokongan pengundi dalam PRU14.

“Kita boleh bagi khidmat yang lebih baik daripada yang dirasai di bawah PAS. PAS berpuluh tahun dah,” kata bekas menteri kewangan itu.

Ketika ditanya apakah beliau bersedia untuk membantu Umno berkempen bagi merampas Kelantan, Razaleigh berkata: “Setakat ini belum ada cadangan untuk saya (bantu Umno rampas Kelantan). Saya belum diberitahu lagi.”

Tengku Razaleigh berpengalaman bekerjasama dengan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah ketika memimpin parti Semangat 46.

Parti itu ditubuhkannya untuk menentang Umno susulan perpecahan parti majoriti Melayu itu pada 1987.

Hasil dari kerjasama Semangat 46 dengan PAS, Angkatan Perpaduan Ummah berjaya merampas Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1990.

Pada 1996, Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46 dan kembali menyertai Dr Mahathir di dalam Umno.

Cakap-cakap mengenai kerjasama PAS dengan Umno muncul sejak 2009 lagi, ketika PAS masih bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

Kerjasama itu bertahan sehingga 2015 dan PR berkubur selepas PAS bertelingkah dengan DAP dalam isu hudud.

Tidak lama selepas itu Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan dengan dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan parti serpihan PAS, Amanah.

Tindak tanduk PAS dalam beberapa isu sejak kebelakangan ini menyebabkan timbulnya cakap-cakap tentang kerjasama parti Islam itu dengan Umno.

Rancangan itu semakin jelas apabila Dr Mahathir Mohamad yang mempengerusikan Pakatan Harapan menutup pintu kerjasama dengan PAS, akhir tahun lalu.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, parti Islam itu kini mengira kebarangkalian bahawa keputusan PRU14 akan menyebabkan Parlimen tergantung.

Dalam keadaan itu, parti itu kini ada dua pilihan — terus kekal sebaga pembangkang atau membentuk kerajaan campuran dengan BN, katanya.

Bagaimanapun, PAS Pusat dalam kenyataan hari ini berkata, rancangan melibatkan kerjasama dengan Umno itu hanyalah andaian dan pandangan peribadi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.