KU LI: INGAT PERJUANGAN ASAL UMNO

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, menyeru parti itu kembali fokus kepada perjuangan asalnya menjaga kebajikan rakyat dan bukannya mengutamakan agenda peribadi.

Katanya, Umno sudah melalui begitu banyak perubahan dan wujud perbezaan ketara pada parti itu pada masa lalu berbanding sekarang.

“Ketika Umno yang baru ini boleh mengekalkan sokongan dan mempunyai begitu ramai ahli, ia juga berdepan masalah.

“Ia adalah lumrah untuk sesebuah parti yang besar, terutama apabila fokus utamanya adalah lebih kepada agenda peribadi,” katanya dalam temu bual disiar akhbar New Straits Times hari ini.

Temu bual itu diadakan sempena perayaan sambutan memperingati penubuhan Umno ke-71.

Tengku Razaleigh adalah antara tokoh kanan dalam Umno yang pernah melalui pelbagai pengalaman bersama parti itu.

Menjadi anggota parlimen Gua Musang – dan sebelumnya dikenali sebagai Ulu Kelantan – sejak 1974, beliau pernah bertanding mencabar presiden Umno pada 1987 namun gagal mengetepikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semua hanya sementara

Persaingan itu kemudian membawa kepada perpecahan Umno dan Tengku Razaleigh meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 pada 1989.

Angka “46” itu mengambil kira sempena tahun Umno ditubuhkan.

Hasil kerjasama parti itu dengan PAS membolehkan mereka menawan Kelantan pada pilihan raya umum kelapan (1990).

Tengku Razaleigh bagaimanapun membubarkan partinya pada 1996 dan kembali menyertai Umno.

Katanya, anggota Umno hari ini mahukan jawatan dan kelebihan untuk kepentingan peribadi menyebabkan perjuangan sebenar parti menjadi kabur.

“Hal-hal begini menyebabkan polemik di kalangan kami yang membuatkan parti menjadi lemah dan sesetengahnya diketepikan,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li turut mengingatkan anggota Umno bahawa kedudukan yang mereka ada itu bersifat sementara.
Katanya, pemimpin Umno harus sedar bahawa berkhidmat kepada rakyat mesti menjadi agenda utama setiap mereka.

“Kita mesti sedar kita di sini hanya sementara. Jadi kita mesti berjuang bukan untuk diri sendiri tetapi untuk pengikut. Kita mesti mempunyai semangat berkorban,” katanya.

– M’kini

.