KU LI BERTANGGUNGJAWAB BANTU UMNO?

KOTA BAHARU – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai tanggungjawab moral untuk mengembalikan semula tampuk pemerintahan Kelantan ke tangan Umno.

Ini kerana akibat pertolongan parti yang beliau ketuai, Semangat 46, kepada Pas menyebabkan Kelantan jatuh ke tangan Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-8 pada 1990.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, disebabkan itu wajar Tengku Razaleigh lebih menyumbang terhadap usaha ini.

“Secara kasarnya, perhitungan politik di Kelantan adalah agak mudah, iaitu parti politik yang memerintahkan berjaya ditumbangkan jika ia mengalami perpecahan dalaman yang serius.

[ARTIKEL BERKAITAN: Umno perlu ambil kesempatan rampas Kelantan]

“Dalam PRU Ke-5 pada 1978, Pas yang memerintah Kelantan sejak PRU Ke-1 pada 1959 dikalahkan oleh BN bila bekas Menteri Besar Kelantan dari Pas, Datuk Mohamad Nasir, menubuhkan Berjasa.

“Tengku Razaleigh disifatkan memainkan peranan amat penting di dalam mengalahkan Pas pada PRU Ke-5, begitu juga di dalam mengembalikan semula Kelantan ke tangan Umno pada PRU Ke-8.

“Ekoran peranan beliau di dalam mengalahkan Umno di Kelantan ini, sesetengah pihak di dalam Umno masih belum memaafkan beliau walaupun selepas beliau kembali ke dalam parti itu,” katanya.

Kamarul berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tengku Razaleigh bahawa Umno Kelantan perlu mengambil kesempatan untuk menumbangkan Pas yang berdepan dengan isu perpecahan dalaman.

Kamarul berkata, Tengku Razaleigh pernah diberi peluang mengembalikan Kelantan ke tangan Umno dalam PRU Ke-10 pada 1999 tetapi gelombang reformasi terlalu kuat pada waktu itu.

Penganalisis politik itu juga memberitahu, kini, apabila sekumpulan pemimpin Pas, termasuk di Kelantan, berpecah dan menubuhkan Amanah, secara teorinya kemungkinan untuk Umno mengambil-alih semula Kelantan itu ada.

“Selaku tokoh yang menyumbang ke atas kejatuhan Umno di Kelantan dahulu, Tengku Razaleigh perlu menebus kesilapannya dengan memainkan peranan lebih aktif dalam politik Kelantan.

“Karier politik Tengku Razaleigh akan menjadi lebih menarik sekiranya beliau berjaya melengkapkan kitaran naik turun Umno di Kelantan dengan membantu memenangkannya dalam PRU Ke-14 ini.

“Kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan dalam isu pelaksanaan hukum syariah tidak akan menghalang Umno dan Pas dari terus bersaing kerana politik berbeza dari kerajaan.

“Politik semasa kini menjadi lebih rencam apabila bukan setakat Pas sahaja berpecah, tetapi Umno juga turut berpecah menjadikan persaingan politik Kelantan lebih terbuka,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my

.