KRISIS TUN M-ZAHID SUDAH LAMA

KLANG – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mendakwa perselisihan peribadi Tun Dr Mahathir Mohamed dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah lama berlaku.

Menurut beliau itu, ketika menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir pernah menolak permohonan sebuah syarikat yang diterajui Ahmad Zahid yang ketika itu bergelar ahli perniagaan.

Menurutnya, Tun Mahathir membuat penolakan itu tanpa melihat siapa sebenarnya pemegang saham syarikat berkenaan.

“Ketika itu saya menjadi Ketua Menteri Sabah (1994-1996), sebuah syarikat dipengerusikan Zahid membuat cadangan pembangunan di Kota Kinabalu, Zahid pada masa itu adalah ahli perniagaan.

“Jadi saya kena rujuk kepada Tun Mahathir selaku Perdana Menteri untuk projek berkenaan,” katanya kepada Pemberita ketika hadir merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kapar, di SRJK (C) Pui Ying, di sini semalam.

Turut serta, Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah.

Salleh yang juga Bendahari Agung Umno berkata, sebaik pihaknya memaklumkan syarikat berkenan diterajui Zahid, Tun Mahathir terus menolak permohonan.

“Dia dengar ada nama Zahid, dia tolak permohonan walhal syarikat itu bertapak di Sabah dan dimiliki orang Sabah, kebetulan Zahid mempunyai saham dan menjadi pengerusi di syarikat itu.

“Bila berlaku sedemikian, saya lihat Tun Mahathir bersikap terlalu peribadi dan dia menolak permohonan syarikat itu hanya kerana terdapat nama Zahid,” katanya.

Menurutnya lagi, isu membabitkan Tun Mahathir dan Zahid bukan perkara baru kerana ia berlarutan sejak dahulu lagi.

“Serangan ke atas Zahid menunjukkan Tun Mahathir mempunyai masalah peribadi dengan beliau dan tidak hairan serangan demi serangan dilakukan terhadapnya,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan memiliki wang sebanyak RM230 juta yang dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zahid berkata, dia rela untuk disiasat demi memperbetulkan apa yang disifatkannya sebagai satu pembohongan besar tetapi pada masa sama, kekayaan yang dimiliki bekas Perdana Menteri itu termasuk anak-anaknya juga perlu disiasat SPRM.

– SH

.