KRISIS ROHINGYA: MYANMAR LARANG PEKERJA KE MALAYSIA

YANGON – Myanmar melarang pekerjanya ke Malaysia susulan hubungan yang kurang baik dengan negara jiran itu berhubung tindakan keras tentera ke atas etnik minoriti Rohingya.

Langkah itu dibuat selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak membidas pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi kerana membenarkan “pembunuhan beramai-ramai” semasa perhimpunan pada Ahad lalu di Kuala Lumpur yang menarik kehadiran ribuan orang.

Perhimpunan itu dianjurkan bagi membantah tindakan keras Myanmar hingga memaksa lebih 20,000 umat Islam Rohingya ke Bangladesh.

Krisis berkenaan mencetuskan bantahan di negara-negara Islam di seluruh rantau ini, termasuk Malaysia.

Kementerian imigresen Myanmar berkata pihaknya telah berhenti mengeluarkan lesen baharu kepada rakyatnya untuk bekerja di Malaysia yang selama ini menjadi destinasi utama bagi buruh asing.

“Buat sementara waktu Myanmar berhenti menghantar pekerja ke Malaysia sejak 6 Disember kerana keadaan semasa di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, tanpa mengulas lanjut.

Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada puluhan ribu pekerja Myanmar.

-AFP

.