‘KRISIS EKONOMI KINI, DULU BERBEZA’

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menyifatkan segala pandangan  bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung krisis ekonomi dan penyelesaian yang dihadapi negara sebagai kritikan positif.

“Saya tak mahu komen secara mendalam apa disuarakan dia (Tun Daim), saya rasa kita tak boleh straight away bagi pin point, orang itu bagus atau tak bagus, tetapi sebenarnya kita harus melihat semua faktor secara keseluruhan.

“Saya ambil maklum pandangan Tun Daim itu sebagai kritikan positif,” katanya selepas merasmikan Program Keramat Race anjuran Belia Masjid Al Akram dengan kerjasama GB4B (M) Titiwangsa, di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut luahan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkaitan krisis ekonomi negara dan penyelesaiannya yang disiarkan Sinar Harian, semalam.

Dalam luahan itu, Tun Daim berkongsi luahan pandangan yang menyebut, cara kerajaan mengawal ekonomi negara amat cetek, malah ekonomi negara dijana oleh hutang.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini tidak sama, berbanding situasi yang dialami 20 atau 30 tahun dahulu.

“Saya percaya dengan kepakaran yang ada dalam negara kita, lebih-lebih lagi peranan yang dijalankan Gabenor Bank Negara, di samping sokongan daripada penjawat awam yang lain.

“Krisis ketika ini begitu rumit jika ingin dibandingkan dengan apa yang berlaku pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim. Bayangkan, situasi sekarang ini, 28 negara dalam zon Eropoh menjadi tidak stabil, ditambah pula dengan “Saya nak tekankan, lihat perkembangan negara, kita berkembang membangunkan ekonomi sehingga hari ini dan mencapai hingga RM1.3 trilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Negara mendapat sumber modal daripada kegiatan ekonomi, dijana daripada cukai,  melalui cukai, kita kembangkan ekonomi.

“Di samping itu, pendapatan juga diperoleh melalui pembangunan yang cepat (fast track). Bila fast track kita kena berhutang, hutang itu untuk membangunkan negara, membangunkan infrastruktur pengangkutan awam, maka tak ada masalah, kerana ia memberi kesan ekonomi kepada generasi akan datang dengan lebih bagus,” katanya.

Oleh itu katanya, berhutang untuk buat harta benda yang boleh menjana kepantasan perkembangan ekonomi tidak jadi masalah.

“Isu dia ialah, kalau kita nak berhutang perkara ini kena tanya, hutang ini untuk apa? Sebab bila kita buat hutang, kita mesti berkebolehan membayar, kalau kita tak boleh membayar, itu ada masalah.

“Jadi, sebab itu saya ingat dari segi hutang ini tidak ada masalah, cuma kita nak tengok setakat mana kita boleh berhutang dan boleh bayar,” katanya.

Tegas Johari,  pengurusan hutang adalah aspek penting yang perlu diberi penekanan.

“Saya mengambil maklum kritikan-kritikan yang diberi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, kita kena lihat benda ini secara lebih besar, sebab kita pun tak nak negara menjadi seperti Ireland, Greece, kita akan uruskan langkah-langkah sewajarnya berkaitan perkara ini.

“Tapi apa yang saya nak tekankan ialah, kalau hutang yang kita buat ini, untuk membangunkan prasarana negara sekolah, universiti, jalan raya, hospital, kemudian, kerajaan bangunkan pengangkutan awam seperti MRT, dan sebaginya, itu adalah pelaburan untuk generasi akan datang. Kita tak boleh menjadi negara maju kalau pengangkutan awam tak maju,” katanya.

– Sinar Harian

.