Krisis dalaman Gerakan P Pinang selesai aman?

GEORGETOWN – Krisis dalaman yang melanda Parti Gerakan membabitkan dua pemimpin parti telah diselesaikan secara damai, menurut Pengerusi Gerakan negeri Teng Chang Yeow.

Chang Yeow yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang berkata, perkara itu telah selesai hasil pertemuan dengan presiden parti Datuk Seri Mah Siew Keong Khamis lepas.

“Kami mengadakan mesyuarat tiga jam Khamis lepas untuk membincangkan perkara itu dan selepas mesyuarat, kami menganggap masalah itu telah selesai,” katanya dalam ucapan pembukaan persidangan perwakilan Pemuda dan Wanita negeri di ibu pejabat parti Gerakan Pulau Pinang di sini hari ini.

Bagaimanapun, Chang Yeow enggan memberitahu hasil mesyuarat dan berkata Siew Keong akan membuat pengumuman mengenai perkara itu tidak lama lagi.Bulan lepas, Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Dr Thor Teong Gee mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti selepas mendakwa reputasinya tercemar berikutan kemelut dalaman bagi jawatan penyelaras Bahagian Sungai Pinang.Berikutan itu, Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong menafikan yang beliau mahu mengambil alih jawatan penyelaras Bahagian Sungai Pinang dan

tidak berhasrat untuk menjejaskan reputasi Dr Thor. – Bernama