KR1M TUTUP SEBAB K’JAAN TIADA WANG, DAKWA AMANAH

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH) Faiz Fadzil mendakwa penutupan sementara Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menandakan kerajaan sudah ketiadaan wang untuk meneruskan rangkaian kedai runcit yang menawarkan harga murah itu.

Beliau menolak sebab yang diberikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam, bahawa ia ditutup sementara bagi tujuan penambahbaikan.

“Alasan itu meragukan kerana penutupan sementara ini berlaku kepada hampir semua premis di seluruh negara, sedangkan penambahbaikan biasanya dibuat secara berperingkat tanpa menjejaskan operasi harian.

“Kenyataan itu juga bertentangan dengan kenyataan (pengendali KR1M) Mydin Mohamed Holdings Berhad Julai lalu yang mereka rugi besar.

“Seharusnya KR1M diteruskan jika kerajaan mampu membantu meringankan beban Mydin. Jelas faktor sebenar penutupan sementara ini kerana kekeringan kantung negara yang berpunca daripada kelemahan urus tadbir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan semalam mendapati kedai itu dalam proses ditutup dan sudah menghentikan jualan.

Salah seorang pekerja di sebuah cawangan di Petaling Jaya memaklumkan beliau tidak tahu berapa lama tempoh penutupan itu.

Pembaca Malaysiakini juga memaklumkan beberapa lagi KR1M telah ditutup, antaranya di Banting, Selangor; Teluk Intan, Perak; Changlun, Kedah; Ajil, Terengganu; Kota Padawan; Sarawak dan di Tawau, Sabah.

Dalam kenyataannya semalam, Hamzah berkata kerajaan melaksanakan penambahbaikan di bawah insiatif KR1M2.0, antaranya agar rangkaian itu dapat menawarkan harga yang lebih murah dan pilihan barangan yang lebih banyak.

Faiz berkata, kelemahan kerajaan menguruskan ekonomi negara menyebabkan inisiatif yang membantu rakyat seperti KR1M gagal diteruskan.

Katanya, berbilion wang yang dirancang untuk dilaburkan di Amerika Syarikat seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya minggu lalu sepatutnya digunakan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Sedangkan tujuan (pelaburan) itu hanya helah bagi menutup skandal 1MDB…Penutupan sementara KR1M ini pasti menambah beban hidup rakyat,” katanya lagi.

– M’kini

.