KPK KALAH SAMAN LAGI, RUGIKAN KELANTAN’ – HUSAM

Tahun 2017 menutup tirainya dengan kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS kalah lagi dalam kes saman.

Kali ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu petang tadi mengarahkan anak syarikat kerajaan negeri, Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) membayar sejumlah RM 5,012,104.10 kepada AS Timber Trading, dedah naib presiden AMANAH Datuk Seri Husam Musa.

“Saya tidak tahu sama ada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah KPK berkaitan masih ingin memegang atau meletakkan jawatan mereka atas kekalahan demi kekalahan KPK di mahkamah,” kata Husam dalam sebuah kenyataan media malam ini.

Pengerusi kini KPK ialah Azami Mohd Nor, manakala bekas pengerusi dan ahli lembaga pengarah sekarang ialah Zulkifli Mamat. Kedua-dua mereka ialah ADUN PAS di Kelantan.

Husam juga mempersoalkan kemampuan KPK untuk membayar ganti rugi tersebut, jika ia memutuskan untuk tidak merayu.

Lepas jawatan

“Apa pun, ia merugikan rakyat Kelantan.

“Jika mereka melepaskan jawatan, sekurang-kurang MB dan Pas Kelantan dilihat mengambil iktibar atas kelemahan KPK dan bertindak sewajarnya,” kata bekas exco kerajaan negeri Kelantan itu.

Bagaimanapun KPK mempunyai masa 30 hari untuk merayu atas keputusan itu. Malaysiakini sedang cuba menghubungi KPK bagi mendapat penjelasan.

Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK) dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Saya tidak tahu samada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah KPK berkaitan masih ingin memegang atau meletakkan jawatan mereka atas kekalahan demi kekalahan KPK di mahkamah,” kata ADUN Salor itu.

Cekap atau lemah

Sebelum ini, Husam pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kecekapan PAS menerajui Kelantan boleh dinilai melalui kes-kes mahkamah yang sedang berjalan.

“Apa punca banyaknya kes-kes di bawa ke mahkamah? Kecekapan kerajaan negeri atau kelemahannya?” soal beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pernah dilaporkan media tempatan sebagai berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka dan bersedia untuk memberikan kerjasama terhadap siasatan berhubung tuduhan rasuah yang dikatakan dilakukan seorang wakil rakyat PAS dalam pengurusan anak syarikat kerajaan negeri, Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPKSB).

– M’kini

.