KOS SARA HIDUP TINGGI, MISKIN BANDAR MALAYSIA TERJEJAS TERUK, KATA BANK DUNIA

ISI rumah miskin adalah kelompok paling terjejas disebabkan peningkatan kos sara hidup yang disebabkan peningkatan kadar inflasi yang tidak selari dengan peningkatan gaji, menurut laporan terbaru Malaysia Economic Monitor dikeluarkan Bank Dunia.

Laporan itu menyebut yang tekanan inflasi bertambah sejak beberapa tahun lepas mewujudkan kesan buruk kepada isi rumah berpendapatan rendah, terutama sekali di kawasan bandar yang membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk barangan dan perkhidmatan yang mencatatkan lonjakan harga paling besar.

Katanya, kajian perbelanjaan isi rumah tahun lepas menunjukkan wujud ketidaksetaraan perbelanjaan merentas kelompok, dan isi rumah berpendapatan rendah menghabiskan 40% pendapatan mereka untuk makanan dibandingkan dengan hanya 25% dalam kumpulan berpendapatan tinggi.

“Kesannya, isi rumah termiskin terjejas disebabkan tekanan inflasi yang meningkat sejak beberapa tahun lepas dengan peningkatan relatif harga makanan,” kata laporan itu yang diterbitkan Khamis lepas.

Peningkatan kos lebih dirasai oleh penduduk kawasan bandar kerana inflasi harga makanan yang lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar. Di tambah lagi dengan kekurangan bekalan rumah mampu milik yang mengurangkan kemampuan memiliki rumah sejak 2012 seterusnya menyebabkan kelompok pendapatan rendah bandar adalah kumpulan paling teruk terjejas.

Bank Dunia mengatakan peningkatan kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah menyebabkan keperluan bantuan sosial tertumpu bagi membantu mereka terutama di kawasan bandar meningkat mendadak.

– https://www.themalaysianinsight.com

.