KOREA UTARA SEKAT RAKYAT MALAYSIA KELUAR NEGARANYA

PYONGYANG – KOREA UTARA. Kerajaan Korea Utara dilaporkan mengeluarkan larangan sementara ke atas rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

Memetik laporan Reuters, larangan itu atas alasan untuk memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya di Malaysia ekoran krisis diplomatik yang berlaku antara kedua-dua negara selepas pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.
Difahamkan, Kementerian Luar Korea Utara telah memaklumkan kepada kedutaan Malaysia di Pyongyang dan berharap isu itu diselesaikan secara baik demi hubungan dua hala antara kedua negara.
Sebelum ini, kerajaan Korea Utara telah mengambil langkah memerintahkan Duta Besar Malaysia di Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam bermula semalam.

Reuters yang memetik laporan daripada agensi berita KCNA berkata, Korea Utara melabelkan Mohamad Nizan sebagai ‘persona non grata’.

– Sinar Harian

.