‘KOR MING HANYA PANDAI CARI SILAP’

IPOH – Pengerusi DAP Perak, yang juga Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming disifatkan sebagai wakil rakyat yang hanya mencari kesilapan kerajaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, Kor Ming sepatutnya bertanya terlebih dahulu kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Sepatutnya dia tanya berapa juta peruntukan yang kerajaan berikan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada MPT untuk pembangunan di Taiping.

“Kita sudah berikan hampir RM2 juta melalui tiga projek bernilai RM1 juta dan meluluskan RM900,000 ketika Hari Lanskap Negara 2017 di Taiping baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis perasmian dan penyerahan  kunci Pasar Ayam Amanjaya kepada 34 peniaga semalam.

Tambahnya, Kor Ming hanya memikirkan tentang peruntukan namun tidak mengambil kisah apa yang berlaku di kawasannya.

“Dia tidak faham apa yang saya maksudkan dengan mencari silap melalui tafsiran surat pekeliling itu.

“Kita tidak pernah mengetepikan mana-mana pihak malah di Selangor lebih banyak peruntukan diberikan,” katanya.

Jelasnya, walaupun kawasan Ipoh tidak memenangi mana-mana kerusi sama ada Ipoh Timur dan Ipoh Barat, kerajaan tetap membelanjakan berpuluh juta ringgit untuk memberikan keselesaan kepada rakyat.

Sebelum ini, Kor Ming memfailkan tuntutan perintah mahkamah terhadap beliau dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar mengenai pekeliling dikeluarkan jabatan berkenaan bertarikh 17 Mac lalu.

Kandungan pekeliling itu menyebut ‘supaya membatalkan projek-projek BP 1 2017 yang diluluskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan –kawasan parlimen bukan BN’ dan ‘waran peruntukan yang dikeluarkan bagi  pelaksanaan projek-projek berkenaan adalah ditarik balik.

Sementara itu, dalam satu sidang media berasingan, Noh kita ditanya mengenai hasrat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu mengambil Perak sebagai negeri angkat beliau berkata, kenyataan itu sebagai satu lakonan.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor  menyifatkan ia sebagai impian kosong sedangkan masalah dalaman PKR di Selangor tidak dapat diselesaikannya.

“Beliau memang bercita-cita tinggi dan saya tengok di Selangor, masalah mereka pun kelam kabut.

“Pembangkang sendiri ada masalah dan isu yang tidak boleh diselesaikan dan pandai pula mencipta isu baru,” katanya ketika mengulas tindakan Mohamed Azmin yang mahu jadikan Perak sebagai negeri baharu dikuasai Pakatan Harapan.

– ANN

.