‘Kor Ming hanya berpura-pura’ – Zambry

IPOH – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilihat hanya berpura-pura mahukan undang-undang berkaitan anti lompat parti sebaliknya menyokong tindakan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, apa yang diperkatakan Kor Ming sekadar cuba memperlihatkan kononnya diri beliau dan DAP paling suci dan terbaik menentang sebarang usaha lompat parti.

Katanya, di sebalik kenyataan itu, Ahli Parlimen Taiping itu sendiri mengalu-alukan tindakan Adun Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai Amanah daripada Pas.

“Saya ingin menegaskan YB Nga (Kor Ming) tidak perlu berlakon dan berpura-pura seolah-olah dia pejuang anti-lompat parti.

“Kenapa beliau mahu mencabar saya. Cabarlah orang yang mengemukakan cadangan itu sendiri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Seperkara lagi kalau beliau jujur, saya mencabar beliau menempelak tindakan Nizar yang melompat parti dari Pas ke Amanah,” katanya.

Zambry berkata demikian sebagai mengulas cabaran yang dinyatakan Kor Ming dalam satu sidang media kelmarin apabila mahu enakmen anti lompat dibentang dan diluluskan dalam Sidang Dun Perak.

Katanya, lebih hipokrit lagi, pakatan pembangkang khususnya DAP terus menobatkan Mohammad Nizar sebagai Ketua Pembangkang.

“Inilah tingkah laku Kor Ming dan DAP iaitu apa saja tindakan mereka disucikan dan dihalalkan,” katanya.

– Sinar Harian

.