KONSORTIUM IWH-CREC PERTIKAI DAKWAAN TRX CITY

IWH CREC Sdn Bhd, sebuah konsortium usahasama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering (M) Sdn Bhd (CREC), mempertikaikan dakwaan TRX City Sdn Bhd semalam berhubung penjualan kepentingan ekuiti 60 peratus dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd.

Menurutnya, kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh TRX City tidak sepenuhnya tepat.

Dalam satu kenyataan, ia berkata IWH CREC mengambil berat dengan kandungan notis penamatan dan siaran akhbar berikutnya yang dikeluarkan oleh TRX City, yang tidak mencerminkan dengan lengkap dan tepat keadaan dan pihak-pihak dalam perkara ini.

“IWH-CREC mengambil perkara ini dengan serius dan pada masa ini sedang mengkaji kandungan notis penamatan dan siaran akhbar itu dengan penasihat dan pihak peguam,” katanya sambil menambah bahawa pengumuman lanjut mengenai perkara ini akan dibuat dalam masa terdekat.

IWC CREC Sdn Bhd ialah syarikat usaha sama 60-40 antara IWH dan CREC.

TRX City, yang dimiliki oleh kementerian kewangan dalam kenyataan media semalam, mengumumkan  bahawa Perjanjian Jualan Saham (SSA) yang ditandatangani pada 31 Disember 2015 dengan konsortium IWH CREC telah luput.

“Ini adalah kerana, walaupun lanjutan diberikan, IWH-CREC gagal untuk membuat pembayaran yang digariskan dalam syarat di bawah SSA.

“Hasilnya, Perjanjian Jualan Saham antara pihak-pihak ini terbatal dan tidak sah berkuatkuasa serta merta,” kata kenyataan dari TRX sambil menambah kerajaan kini akan menangguhkan rancangan TRX City untuk menjual tanah berkenaan.

Perjanjian Bandar Malaysia sebelum ini disebut-sebut sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB bagi tujuan mengurangkan hutang firma pelaburan negara itu.

Tanah prima atau utama seluas 486 ekar di Sungai Besi, atau Bandar Malaysia, telah pun dipindahkan dan diletakkan di bawah kementerian kewangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak semalam dijadualkan melawat tapak Bandar Malaysia  tetapi secara tiba-tiba majlis itu dibatalkan.

Sebaliknya, kenyataan TRX City dikeluarkan tidak lama kemudian.

– M’kini

.