KONSENSUS PAKATAN BUKTI PEMBANGKANG KUKUH BERSATU, KATA PKR

AKAR umbi dan pemimpin PKR percaya konsensus yang dicapai-walaupun mengambil masa- berkaitan calon perdana menteri, timbalan perdana menteri serta pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan menghantar mesej jelas kepada pengundi yang mereka kini sudah kukuh bersatu.

“Kami memahami setiap parti dan individu mempunyai pandangan berbeza tetapi sama ada mereka suka atau tidak, keputusan sudah dibuat oleh kepimpinan tertinggi.

“Seperti mana (naib presiden PKR) Nurul Izzah (Anwar) bacakan sebentar tadi, Anwar juga akan menerima konsensus ini dengan hati terbuka.

“Secara peribadinya, sudah tentu saya mahu Anwar Ibrahim (sebagai perdana menteri) tetapi ada proses sebelum itu berlaku,” kata Noor Amin Ahmad daripada PKR Perlis kepada The Malaysian Insight.

Noor Amin merupakan calon PKR untuk Kuala Perlis pada Pilihan Raya Umum 2013 berkata, beliau bersetuju dengan keputusan itu kerana ia realistik meletakkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku timbalan perdana menteri sementara menunggu Anwar dibebaskan dan bertanding dalam pilihan raya.

Ketua Bahagian PKR Petaling Utara, Khairul Anuar Ahmad Zainudin pula berkata, beliau gembira dengan pengakuan Dr Mahathir mengenai pengorbanan dilakukan keluarga Anwar dan peranan dimainkan Amanah dan DAP sehingga konsensus yang diperlukan gabungan pembangkang berjaya dicapai.

“Konvensyen hari ini menghantar petanda jelas yang kita pembangkang bersatu. Saya gembira yang pemimpin tertinggi mengenepikan pandangan dan perasaan peribadi mereka untuk menumpukan (usaha) mengalahkan BN-Umno, mengembalikan maruah rakyat dan membawa perubahan sistematik dan institusi (negara),” katanya selepas konvensyen itu.

Beliau percaya yang konsensus hari ini akan mencetus momentum diperlukan PH untuk mengatasi halangan dalam perjalanan ke Putrajaya.

Pengakuan Dr Mahathir tentang penderitaan ditanggung keluarga Anwar Ibrahim dilihat banyak pihak sebagai tindakan penting bagi melembutkan dan menjernihkan sejarah silam lama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Januari, 2018.
Pengakuan Dr Mahathir tentang penderitaan ditanggung keluarga Anwar Ibrahim dilihat banyak pihak sebagai tindakan penting bagi melembutkan dan menjernihkan sejarah silam lama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Januari, 2018.

Penolong Setiausaha Angkatan Pemuda Keadilan (PKR), Syed Badli Shah Syed Osman berkata, beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka, kerana agenda PH perlu diutamakan berbanding agenda parti.

“Apa yang kita capai hari ini satu sejarah. Ia akan membuka jalan kepada kita untuk menang pilihan raya dan membentuk kerajaan yang lebih baik berbanding BN, yang akan memberikan prospek (masa depan) yang lebih baik kepada rakyat.

“Tidak semua akan gembira tetapi ini adalah konsensus dan mereka yang bersetuju dengan agenda lebih besar (untuk kalahkan BN) kini boleh bergerak maju bersama-sama,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Kongres PKR mengakui tidak semua pihak gembira dengan kerjasama pembangkang dan Dr Mahathir.

“Kita ada peluang untuk tunjukkan kepada Dr Mahathir yang rundingan berprinsip, sesukar manapun, boleh dilakukan sebelum kita ambil keputusan bersama-sama,” katanya.

Hari ini pula, Nik Nazmi mengatakan beliau menghargai pengakuan terbuka Dr Mahathir mengenai penderitaan ditanggung Anwar dan keluarganya apabila dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998, kemudiannya dipenjarakan kerana kesalahan liwat dan korupsi.

Saifuddin Abdullah daripada PKR pula mengatakan pengakuan Dr Mahathir tentang penderitaan keluarga Anwar adalah tindakan simbolik yang penting.

Akar umbi dan pemimpin parti dalam Pakatan Harapan menyifatkan konsensus dicapai konvesyen hari ini mustahak bagi membuka jalan gabungan pembangkang dalam usaha mereka menakluk Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.
Akar umbi dan pemimpin parti dalam Pakatan Harapan menyifatkan konsensus dicapai konvesyen hari ini mustahak bagi membuka jalan gabungan pembangkang dalam usaha mereka menakluk Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

“Ia adalah tindakan simbolik berbaik-baik yang penting yang boleh melembutkan hati, bukan sahaja Anwar dan keluarganya tetapi orang lain juga,” katanya.

Dr Mahathir berterima kasih kepada Anwar dan keluarganya kerana membenarkan beliau menerajui pembangkang pada pilihan raya umum akan datang pada Konvensyen PH hari ini.

“Saya terhutang budi dan ucap terima kasih kepada Anwar kerana sanggup bekerjasama dengan pasukan termasuk diri saya sendiri dalam usaha menyelamatkan negara bertuah ini.

“Saya sedar betapa rasa Anwar umpamanya, di masa saya memerintahlah dia dihantar ke Sungai Buloh. Bukan mudah baginya menerima saya.

“Ya, boleh berjabat tangan tapi terima saya sebagai pimpinan parti lawan Umno bukan mudah. Sebab itu kita ambil masa lama tapi akhirnya keutamaan diberi pada perjuangan,” kata Dr Mahathir hari ini.

Dr Mahathir turut mengakui keluarga Anwar juga merasa tertekan dengan tindakan yang dilakukannya terhadap Anwar itu.

“Bukan sahaja Anwar, keluarganya tentu merasai tekanan apabila Anwar dimasuk dalam tahanan. Mereka menderita 20 tahun dan untuk melupakan peristiwa ini bukan mudah buat keluarga Anwar”.

– https://www.themalaysianinsight.com

.