KOMPETITIF APA BERNIAGA PUN GUNA KABEL, KRONI?

Saya mengambil maklum mengenai fakta yang digembar-gemburkan oleh kerajaan BN mengenai kejayaan Malaysia di kedudukan ke-24 daripada 63 negara yang mempunyai ekonomi paling berdaya saing (meskipun kedudukan Malaysia semakin merosot berbanding rekod tahun 2016: 19 daripada 61 negara).

Saya berpendapat pertumbuhan produktiviti yang semakin lembab menyebabkan tahap daya saing semakin menurun.

Ini disebabkan oleh kegagalan kerajaan menggesa kenaikan gaji asas pada peringkat awam dan swasta, serta kurangnya insentif dana pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk membantu pihak swasta meningkatkan tahap penggunaan teknologi dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Lebih malang lagi, Malaysia antara negara yang dikenali dengan amalan rasuah, penglibatan ‘orang dalam’ dan kronisme.

Bagaimana rakyat hendak mengamalkan perniagaan kompetitif jika perolehan tender juga memerlukan ahli politik kerajaan dalam mendapatkan projek?

Tanyalah kepada mana-mana kakitangan kerajaan yang menguruskan tender kerajaan, berkemungkinan besar mereka ada pengalaman ditawarkan hadiah atau wang suapan oleh pihak-pihak tertentu.

Tanyalah kepada orang yang terlibat dalam bidaan tender, mereka juga akan mengatakan bahawa membina perhubungan dengan ahli politik kerajaan adalah kunci mendapatkan projek.

Tak cukup kakitangan

Bukan lagi rahsia bahawa untuk dapat projek Kerajaan di Malaysia, manteranya ialah: “not what you know but whom you know” (bukan apa yang kamu tahu, tetapi siapa yang kamu itu kenal).

Ini tidak termasuk lagi amalan ‘ali baba’ yang menggunakan nama orang lain untuk memperkembangkan dan mengoperasikan perniagaan tertentu.

Berapa ramai pendatang asing yang menggunakan nama orang tempatan untuk membuka perniagaan tersendiri?

Berapa ramai individu bukan bumiputera yang membeli tanah lot bumiputera dengan menggunakan nama bumiputera lain? Adakah kerajaan Umno BN berusaha bersungguh-sungguh mengatasi hal ini?

Malaysia bukanlah negara yang kompetitif jika mengamalkan campur tangan pihak kerajaan untuk menguntungkan individu tertentu.

Jika diikutkan situasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan mempunyai kakitangan mencukupi untuk menyiasat amalan kronisme dalam perniagaan, apatah lagi ianya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dikhuatiri berlakunya konflik kepentingan politik dalam siasatan.

Ini tidak termasuk sistem monopoli yang diamalkan di Malaysia, terutama dalam sektor pertanian padi, siaran televisyen berbayar, perkhidmatan internet, permit gula, permit pengurusan pekerja asing dan permit import kereta.

Bagaimana dikatakan kompetitif sedangkan sebahagian besar sektor dikuasai oleh individu tertentu yang dikatakan sangat rapat dengan pimpinan Umno dan BN?

Pakatan Harapan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai negara kompetitif dengan meningkatkan produktiviti melalui pertumbuhan gaji yang wajar dan penggunaan teknologi.

Tiada guna jika ranking Malaysia dikatakan baik, sekiranya tatakelola buruk di bawah pentadbiran Umno BN masih tidak dihentikan dan rakyat akhirnya menjadi mangsa keadaan.

– M’kini

.