KM: TIADA GOLF PADA WAKTU PEJABAT, WALAUPUN KETIKA CUTI

Penjawat awam di negeri Melaka tidak dibenarkan bermain golf ketika waktu pejabat iaitu antara 8 pagi hingga 5 petang, walaupun ketika bercuti dan pada hujung minggu.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata langkah yang dilaksana sejak beliau menjadi Ketua Menteri pada 2013, antara lain bertujuan menjaga imej dan tanggapan masyarakat terhadap penjawat awam dan kerajaan negeri terutama di mata rakyat.

“Saya sendiri jika hendak main golf selepas pukul 5 petang. Ada yang kata mereka cuti tetapi saya tetap tegaskan tiada penjawat awam dibenarkan main golf ketika waktu pejabat, nak main (golf) luar dari Melaka.

“Pada awal-awal ada yang langgar tetapi kita panggil dan ambil tindakan, sekarang mereka semua sudah faham,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di Ayer Keroh semalam.

Beliau mengulas laporan media mengenai peringatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya penjawat awam berhenti bermain golf di luar negara dan SPRM sentiasa melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjawat awam.

Sementara itu, dalam sebuah majlis berasingan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata bermain golf merupakan satu rekreasi dan antara cara penjawat awam beriadah.

Beliau berkata ia tidak menjadi kesalahan buat penjawat awam menyertai sukan itu selagi tidak menggangu tugas rasmi atau menggunakan wang jabatan dan sumber diragui untuk membiayai sukan berkenaan.

“Kalau mereka ada persidangan, mesyuarat penting dan selepas itu main golf apa salahnya tetapi untuk songlap duit jabatan pergi Bangkok main golf itu memang salah.

“Tak kan kita nak bersidang 24 jam dalam dewan, kita pun pengsan. Tentu ada masa rehat, masa tidur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Landscape Management Comparative Study Exhibition: Seoul Korea’ di Alor Gajah semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat penglibatan penjawat awam yang bermain golf di luar negara dengan elemen penyelewengan atau rasuah adalah wajar dan perlu diteruskan.

Katanya tindakan berkenaan perlu menjadi rujukan dan peringatan pada semua penjawat awam di negara ini agar menjalankan tugas dengan amanah dan tidak melakukan penyelewengan dengan menggunakan duit jabatan untuk kepentingan diri.

– Bernama

.