KM: K’JAAN NEGERI TAK SETUJU SEKOLAH CONVENT DITUTUP

Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan penutupan tiga sekolah mubaligh Convent dan berikrar tidak akan meluluskan sebarang rancangan bangunan kepada mana-mana pemaju di tanah yang menempatkan sekolah berkenaan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai perkara itu dan hanya menyedarinya berdasarkan laporan akhbar hari ini.

“Kami belum dimaklumkan tetapi kami tidak akan bersetuju. Kami tidak mempunyai sebarang hak tetapi jika tanah itu dijual kepada pemaju, kami tidak akan memberikan sebarang kelulusan untuk rancangan mereka,” kata Lim pada sidang akhbar di George Town, hari ini.

“Bagaimana mereka boleh menutup sekolah tertua di Malaysia dan Asia Tenggara? Bagaimanakah sekolah boleh ditutup sedangkan masih ada pelajar?” soal Lim.

Adalah dilaporkan Sekolah Convent Light Street, sekolah biara gadis tertua di Asia Tenggara, dan dua sekolah lain, termasuk Convent Pulau Tikus juga akan ditutup.

Tanah yang menempat Sekolah Convent Light Street, dan sebuah sekolah rendah serta Convent Pulau Tikus bukan dimiliki oleh Kementerian Pendidikan.

Malaysiakini sedang menunggu jawapan daripada sekretariat Sisters of Infant Jesus yang dilaporkan mahu mengambil alih tanah berkenaan.

Spekulasi tersebar bahawa sekolah berkenaan akan dijadikan sekolah antarabangsa swasta atau tanah itu akan dijual kepada pemaju.

Laporan akhbar The Star hari ini menyebut bahawa pemilik pemegang amanah tanah berkenaan, iaitu sekretariat Sisters of Infant Jesus telah memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan negeri bahawa mereka berhasrat mengambil balik tanah itu.

Walau bagaimanapun, jabatan itu, dalam surat pada Rabu lalu, memberitahu pengetua dan guru besar bahawa proses untuk menutup sekolah sudah bermula.

“Ketiga-tiga sekolah itu tidak lagi membuat pengambilan baru dan pelajar yang sedia ada akan menjadi kumpulan terakhir,” petik laporan itu.

Sekolah Convent Light Street diasaskan oleh tiga biarawati dari Holy Infant Jesus Mission pada tahun 1852.

– M’kini

.