KLIP VIDEO SAIFUDDIN NASUTION DAKWA PAS MULAKAN PENGKHIANATAN TERSEBAR

KUALA LUMPUR – Peringatan keras Pas agar PKR jangan mengamalkan budaya politik tikam belakang jika ingin meneruskan kerjasama dengan parti itu bukan sahaja disambut sinis oleh pemimpin PKR, tetapi kini disebarkan pula klip video ucapan Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa Pas memulakan pengkhianatan.

Tindakan menyebarkan klip video tersebut dilihat sebagai satu bentuk serangan balas kepada Pas selepas Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid terlebih dahulu mengingatkan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah agar jangan lupa isu pertindihan kerusi dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam klip video yang dipercayai sedutan daripada ucapan Saifuddin Nasution dalam maj­lis politik anjuran PAN, Setiausaha Agung PKR itu ketika meng­huraikan kepentingan perlunya pembangkang memastikan ‘satu lawan satu’ menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang mendedahkan bagaimana pengkhianatan Pas.

“Kalau nak fikir soal kena khianat, saya yang paling pedih, saya wakil PKR yang merundingkan kerusi pilihan raya umum 1999, 2004, 2008 tetapi 2013 adalah cerita pengkhianatan dan saya tidak boleh lupa.

“Saya tidak lupa (bagaimana kerusi Dewan Undangan Negeri) Kota Putera, Bukit Besi, Seberang Takir, Kota Damansara dan Sungai Acheh yang telah dipersetujui hitam putih dalam mesyuarat rasmi, bukan bincang tepi jalan, tetapi dikhianati,” katanya merujuk kepada tindakan Pas meletakkan calon di kerusi tersebut sehingga berlakunya pertembungan sesama calon pembangkang.

Yang turut kelihatan dalam klip video tersebut bekas Naib Pre­siden Pas yang kini bersama-sama PAN, Datuk Husam Musa namun tidak dapat dipastikan bila dan di mana lokasi tepat ucapan Saifuddin Nasution itu dibuat.

Jumaat lalu, Mohd. Amar ketika berucap pada Karnival Ekonomi Anak Muda Kelantan, di pekara­ngan Stadium Sultan Muhammad IV, secara keras mengingatkan PKR agar jujur dalam persahabatan dan jangan sesekali bertindak menikam parti itu dari belakang jika mahu meneruskan kerjasama politik antara kedua-kedua pihak.

Naib Presiden Pas itu dipetik sebagai berkata: “Jaga baik-baik hubungan kita, terutamanya kawan-kawan PKR. (PKR) nak berkawan dengan PAN boleh, tapi jangan tolol seperti PAN. Ini saya cakap terus terang, depan Naib Presiden dia (Tian Chua), depan Ketua Pemuda dia (Dr. Afif Bahardin). Awak (PKR) nak berkawan boleh, kita tak sekat, tapi jangan jadi tolol seperti PAN, benda itu kena jaga.

“Saya bercakap atas kapasiti Pas Kelantan, jaga baik-baik hubungan kita. Kita (Pas) dari dulu hingga kini tidak khianat. Kita tidak tikam dari belakang. Pas ini, kalau nak tikam, tikam di depan. Jadi kita harap, (PKR) pun tidak tikam kita dari belakang, jujur dengan persahabatan. Jangan di depan kita lain, di belakang lain.”

Dalam pada itu, menerusi klip video yang sama, Saifuddin Nasution berkata, pakatan pembangkang akan terus berusaha untuk berbincang dengan Pas mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14, tetapi pada masa yang sama telah memaklumkan kepada penyokong mereka agar bersedia sekiranya berlaku pertembungan tiga atau empat penjuru.

“Kita akan tetap mulakan rundingan, berhasil atau tidak berserah (tetapi) kita juga harus bersedia, kita mungkin dikhianati dan mungkin ditipu lagi, untuk itu kita katakan bahawa kita akan berusaha satu lawan satu bagi mencerahkan peluang memenangi pilihan raya umum tetapi pada masa yang sama akan maklumkan kepada ahli kita bersedia, kalau itu gagal kita akan berlawan tiga atau empat penjuru,” katanya.

 

– UTUSAN

.