K’JAAN TANGGUH PEMBENTANGAN AKTA 164

Pindaan ke atas Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164 bagi mengelakkan penukaran agama anak-anak secara unilateral telah ditangguhkan kepada sesi akan datang.

Ia adalah antara lima usul kerajaan di Dewan Rakyat yang ditangguhkan selepas sidang Dewan Rakyat semalam mencipta rekod baharu setelah berlangsung hampir 20 jam bermula 10 pagi semalam hingga 5.05 pagi tadi.

Satu-satunya usul yang terdapat dalam Peraturan Mesyuarat adalah dari pembangkang, bermula dengan rang undang-undang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Indira Gandhi, guru tadika yang menuntut hak penjagaan tiga anak selepas suaminya menukar agama mereka secara unilateral sejak lapan tahun lalu, kesal dengan perkembangan itu.

“Saya sedih dan kecewa, saya menunggu selama lapan tahun.

“Jaminan selepas jaminan telah dibuat dan saya gembira apabila ia dibawa ke Parlimen.

“(Tetapi sekarang) bagaimana saya boleh meneruskan hidup saya? … Berapa tahun lagi yang saya perlu tunggu?” kata Indira yang begitu sedih pada sidang media di bilik media Parlimen hari ini.

Rang undang-undang itu, antara lain, bertujuan menyelesaikan masalah penukaran agama oleh satu pihak iaitu bapa atau ibu.

Ia pertama kali dibentangkan pada November tahun lalu dengan tujuan menyelesaikan masalah yang timbul akibat perceraian dan hak penjagaan anak selepas salah satu pasangan itu memeluk Islam.

Rang undang-undang itu bertujuan memasukkan peruntukan baru bahawa agama kanak-kanak kekal sebagai agama bapa dan ibu semasa perkahwinan itu dan sebelum penukaran agama sama ada oleh ibu mahupun bapa.

Pindaan juga menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Pindaan itu dibentangkan selepas tekanan berterusan berikutan kes-kes seperti Indira dan S Dheepa, di mana bekas suami mereka memeluk Islam dan menukarkan agama anak-anak mereka, yang membawa kepada perebutan hak jagaan yang berpanjangan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata beliau diberi jaminan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa rang undang-undang itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

“Saya bercakap dengan Zahid, beliau beri jaminan tidak akan ada halangan dan tidak ada yang dapat menghentikannya,” kata Kulasegaran.

Selasa lalu, Zahid menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk meminda akta itu adalah berdasarkan kepada kepentingan negara.

– M’kini