K’JAAN S’GOR ‘BERFIKIRAN SEMPIT’ PERTIKAI SIASATAN SEMULA SPRM – NOH

Tindakan kerajaan Selangor mempertikai siasatan semula skandal pemberian tanah Kampung Sungai Yu, di Tanjung Karang  oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya disifatkan sebagai ‘berfikiran sempit’.

Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Hannah Yeoh walaupun SPRM Selangor baru-baru ini mengesahkan bahawa tiada kes berkaitan skandal berkenaan.

Katanya, tindakan SPRM Putrajaya itu wajar dilakukan sekiranya pihak suruhanjaya itu menemui sebarang bukti baharu yang memungkinkan kertas siasatan dibuka semula.

“Ini bukan kes saman sivil yang mempunyai tempoh tertentu tetapi ia membabitkan kes jenayah. Kalau nak kata saya yang penyebab siasatan semula berlaku, katalah.

“Ini kawasan saya (Kampung Sungai Yu). Malah pihak saya sendiri pun nak buat laporan semula kepada SPRM supaya siasat balik sekiranya mereka jumpa bukti baru,” katanya kepada pemberita, di Tanjong Karang semalam.

Noh, yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang, berkata langkah pihaknya menggesa siasatan semula oleh SPRM juga adalah susulan kenyataan dibuat Yeoh sendiri minggu lepas, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai , Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Katanya, Yeoh, yang juga ADUN Subang Jaya, menyatakan pemberian milikan tanah kepada 175 individu terbabit tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

Malah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menyelar Yeoh yang menuduh siasatan semula SPRM Putrajaya itu dilakukan atas dasar politik.

“SPRM jalankan kerja mereka berdasarkan penemuan Selcat. Malah penemuan itu juga yang gamit saya gesa SPRM. Hannah Yeoh sendiri yang ‘jolok sarang tebuan’.

“Kalau bukan dia yang buat kenyataan, masakan saya boleh tahu. Sepatutnya Yeoh yang buat laporan kepada SPRM jika tahu ada penyelewengan, bukan saya,” katanya.

Semalam Yeoh mengesahkan SPRM Putrajaya kelmarin telah menyerbu Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, dan pejabat ADUN berkaitan bagi mengambil dokumen serta bukti mengenai milikan tanah Kampung Sungai Yu.

Isu berkenaan yang mula dibangkitkan ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Razak sejak 2016 kembali menjadi topik hangat di Selangor apabila skandal pengagihan tanah yang didakwa tidak telus, berlaku salah guna kuasa, penyelewengan dan kronisme itu mendapat perhatian Selcat.

– Bernama

.