KJ mahu kandungan ‘pendrive’ didedahkan

PUTRAJAYA – Kandungan pemacu pena kontroversi yang dikatakan mempunyai bukti penyelewengan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin didedahkan kepada umum selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau mencadangkan perkara itu kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika menemuinya, sebentar tadi.

“Saya serah kepada SPRM untuk buat siasatan dan beri pandangan. Cuma saya cadangkan lepas selesai siasat, saya nak letakkan kandungan ini untuk tatapan umum.

“Sebab kes ini kes kepentingan umum, ada banyak andaian telah dibuat. SPRM minta saya beri mereka masa dan siasat kandungan itu. Selepas itu baru boleh saya dedahkan,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan kandungan pemacu pena tersebut di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: KJ serah ‘pen drive’ kontroversi kepada SPRM]

Khairy yang lengkap berbaju Melayu tiba di SPRM dengan membawa satu pemacu pena yang sebelum ini didakwa mempunyai laporan berkaitan isu penyelewengan dalam FAM.

Namun beliau menolak untuk mengesahkan sebarang kes rasuah sebaliknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Kandungan pendrive sama seperti mana diserahkan kepada saya. Saya cuma buka dan baca. Pendrive sama saya telah serahkan kepada SPRM.

“Saya serah kepada SPRM untuk siasat dan keluarkan kenyataan. Biar mereka sebagai agensi bertanggungjawab buat siasatan berkenaan isu rasuah ini.

“Siasat dulu dan buat pengumuman sama ada kandungan ‘pendrive’ tu ada kes atau tak,” katanya.

Khairy juga memberitahu mengambil masa seminggu untuk meneliti setiap kandungan dalam pemacu pena tersebut yang diterima daripada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 26 Ogos lalu.

Malah beliau sendiri menyifatkan tindakannya menyerahkan dakwaan itu kepada SPRM sebagai tepat serta menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan sekiranya diperlukan dalam siasatan berkenaan.

“Saya juga minta mereka semak sama ada kandungan ‘pendrive’ itu telah diedit atau tak,” katanya. – Sinar Harian