KJ KELIRU

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jabatan agama Islam tidak perlu mengawasi dan menangkap mereka yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan.
Menulis di Twitternya, kata beliau lagi, walaupun umat Islam diminta mematuhi lima rukun Islam termasuk berpuasa pada Ramadan, tidak ada peruntukan bagi pihak berkuasa untuk mengawasi mereka yang tidak berpuasa.
“Wajib anda patuhi rukun yang lima, tidak wajib untuk orang tangkap kamu kerana tidak melakukannya,” kata Khairy sambil  menambah sumber penguatkuasaan sepatutnya digunakan untuk membantu mereka yang miskin dan memerlukan.
Tambah KJ lagi, daripada jabatan agama membelanjakan wang terhadap pegawai penguatkuasaan mencari mereka yang ponteng puasa, gunakanlah untuk membantu golongan asnaf dan membuat perkara yang baik.
Sekali baca nampak macam betul apa yang diluahkan KJ ini, tetapi jelas bahawa beliau keliru sebenarnya.
Jabatan agama memang tidak mengabaikan peranannya membantu golongan asnaf atau membuat perkara-perkara yang baik, bahkan ia boleh dikatakan berterusan dilakukan.
Dalam soal menangkap mereka yang ponteng puasa, ia dijalankan kerana mereka yang terbabit didapati makan di khalayak ramai atau di tempat yang terbuka, bukannya dengan cara melakukan serbuan ke pejabat, rumah, bilik hotel atau sebagainya.
Malah tidak pernah lagi kita mendengar pegawai penguatkuasa menyerbu rumah persendirian, pejabat kerajaan atau swasta, bilik hotel atau tempat-tempat persendirian yang lain untuk mencari mereka yang ponteng puasa.
Tangkapan hanya dilakukan kerana mereka makan di tempat yang terbuka.
Dalam soal ini, tangkapan kepada mereka yang terbabit lebih untuk menjaga kemuliaan bulan Ramadan dan menunjukkan indahnya Islam itu sendiri.
Maknanya, kalau tidak puasa, janganlah makan di khalayak ramai dan menunjuk-nunjuk “kehebatan”  tidak menjalankan rukun Islam ketiga itu.
Bayangkan jika tidak dilakukan tangkapan atau penguatkuasa tidak dijalankan dan orang yang tak puasa dengan bebas makan, minum atau menghisap rokok di khalayak ramai di khalayak ramai, apakah rupa Islam itu sendiri akhirnya?
Sudah tentu Islam bukan saja tidak lagi dihormati, malah keindahan Islam dan kemurnian bulan Ramadan yang datang setahun sekali juga dengan mudah dicemar secara terbuka.
Janganlah keliru bro!!

Dalam hal-hal berkaitan agama ini, ada baiknya, kalau pun KJ mungkin agak keberatan untuk mendapat nasihat daripada tokoh agama atau mufti berkaitan perkara-perkara kurang difahaminya, setidak-tidaknya beliau bolehlah bertanya kepada bapa mertuanya sendiri, Tun Abdullah Badawi yang tentunya lebih mengetahui daripadanya.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.